Waze Tambah Fungsi Carian Stesen Pengecas EV Dalam Aplikasi
Waze dilaporkan telah menambah ciri terbaharu yang membolehkan pengguna kenderaan elektrik (EV) mencari stesen pengecas EV di dalam peta aplikasi itu.
Memetik laporan The Verge, pengguna sudah mula boleh memasukkan maklumat kenderaan ke dalam aplikasi itu serta jenis palam pilihan masing-masing.
Setelah itu, Waze akan mencari stesen pengecas terdekat di sepanjang laluan yang dilalui mereka.
Bagaimanapun, ciri ini akan dilancarkan kepada pengguna secara global dalam beberapa minggu lagi.
Dalam pada itu, Waze juga mendakwa ciri terbaharu mereka itu dicipta berdasarkan fungsi penyuntingan crowdsourced map.
BACA: Elak Kongsi Maklumat Operasi SJR Di Aplikasi Waze – Polis
“Data EV disemak dan dikemas kini ketika real-time untuk memberikan maklumat yang paling tepat dan komprehensif kepada peta.
“Maklumat stesen pengecas selalunya tidak konsisten, ketinggalan zaman atau tidak boleh dipercayai.
“Ia mewujudkan rasa kurang senang bagi pemandu EV yang mungkin tidak dapat mencari di mana lokasi sebenar stesen pengecas.
“Justeru, dengan menambah maklumat pengecasan EV terkini pada peta Waze, ia membantu pengguna mencari stesen pengecas dengan mudah,” katanya.
Pada tahun 2021, uji kaji mengenai penambahan stesen pengecas dalam aplikasi Waze itu dilakukan dengan kerjasama Volkswagen. Namun, percubaan itu tidak lama dan hanya bertahan dalam beberapa minggu sahaja.
Sebaik sahaja uji kaji selesai, stesen pengecasan hilang daripada aplikasi.
Pengecas EV di aplikasi Waze
Untuk pengetahuan, Waze bukan satu-satunya aplikasi navigasi yang cuba untuk membawa pembaharuan dalam mencari pengecas EV yang berfungsi. Google Maps juga telah menetapkan ciri tersebut dan membolehkan pengguna mengetahui sama ada pengecas tersebut sedang digunakan atau tidak.
Bukan itu sahaja, antara aplikasi navigasi lain yang mempunyai ciri itu adalah A Better Router Planner, PlugShare dan Chargeway.
Semua aplikasi tersebut mempunyai kebaikan dan keburukannya. Pun begitu, kemas kini terbaharu dari Waze mungkin membolehkan aplikasi itu menjadi pilihan ramai tidak lama lagi.
Sumber: The Verge