Siakap Keli
malaysia mula puasa esok
Kredit: BERNAMA

Rasmi, Malaysia Mula Puasa Esok

Rasmi, Malaysia Mula Puasa Esok

Umat Islam di Malaysia secara rasminya akan mula berpuasa pada Khamis (23 Mac) esok, umum Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Perkara itu diumumkan melalui siaran langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) tepat pukul 8 malam sebentar tadi.

Syed Danial berkata penetapan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia itu telah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia adalah pada Khamis 23 Mac 2023,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan tarikh permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia tahun ini ialah pada petang Rabu, 22 Mac bersamaan 29 Syaaban 1444 Hijriah.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata proses melihat anak bulan itu dilakukan  di 29 lokasi di seluruh negara.

Sementara itu, Majlis Raja-Raja turut mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab.

Arab Saudi umum mula puasa Khamis ini

Arab Saudi mengumumkan bahawa 1 Ramadan akan bermula pada Khamis ini, lapor Agence France-Presse (AFP).

Menurut Agensi Berita Arab Saudi, keputusan berkenaan ditetapkan oleh Mahkamah Agong pada petang Selasa (waktu tempatan). Berdasarkan ketetapan tersebut, bulan Syaban bagi kalendar Islam akan berakhir pada Rabu yang mana menandakan Ramadan bermula keesokan harinya.

Ia susulan usaha untuk melihat anak bulan pada awal Selasa tidak berhasil apabila anak bulan tidak kelihatan, lapor agensi berita itu lagi.

Umat Islam di India, Bangladesh dan Sri Lanka mula berpuasa pada Jumaat

Media turut melaporkan umat Islam di India kecuali di negeri Kerala akan mula berpuasa pada Jumaat (24 Mac).

Tarikh permulaan puasa itu ditetapkan pada Jumaat memandangkan anak bulan Ramadan tidak kelihatan pada Rabu kecuali di negeri yang terletak di bahagian selatan.

Bangladesh dan Sri Lanka juga akan mula berpuasa pada Jumaat.

Sementara itu, Jawatankuasa Ruet-e-Hilal Pakistan (jawatankuasa melihat anak bulan) mengisytiharkan Khamis sebagai tarikh permulaan puasa di negara ini.

Maldives turut mula berpuasa pada Khamis.

Sumber: BERNAMA

BACA: Ketahui Kaedah & Proses Cerap Anak Bulan Di Malaysia

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.