Solat Sunat Terawih Penuh 30 Hari, Dapat Duit Raya RM 100
Apabila masuk bulan Ramadan pasti ramai yang akan mengambil peluang untuk merebut pahala dengan melakukan amal ibadah sunat.
Antara amalan sunat yang sering dikerjakan umat Islam di seluruh dunia dan khusus sempena Ramadan adalah solat sunat tarawih.
Di kebanyakkan masjid, solat sunat ini didirkan sebanyak 20 rakaat berserta 3 rakaat solat witir. Namun ada juga masjid yang melakukannya dengan hanya lapan rakaat sahaja.
Biasanya, kanak-kanak mungkin kurang tertarik untuk berada di masjid dalam tempoh yang lama, lebih-lebih lagi untuk mendirikan solat sunat yang mempunyai bilangan rakaat yang banyak.
Terutamanya di hari biasa hari persekolahan, mereka kebiasaannya kepenatan kerana seharian bersekolah kemudian menghadiri kelas Kafa pula sebelah petang.
Justeru sebuah masjid di Balik Pulau, Pulau Pinang telah menjayakan sebuah program yang menarik untuk mengajak jemaah muda, khususnya kanak-kanak menyemarakkan lagi masjid.
Perkongsian berkenaan program itu dibuat menerusi muat naik hantaran laman rasmi Facebook masjid berkenaan.
Program yang dinamakan sebagai Program Kasih Anak-Anak Ramadan 1444H ini bertujuan untuk mengajak remaja dan kanak-kanak solat tarawih secara berjemaah.
Program yang dianjurkan oleh Masjid At-Taqwa Kongsi ini akan memberikan duit raya kepada mana-mana kanak-kanak atau remaja yang turut serta dalam program tersebut.
Dapat duit Raya RM100 seorang
“Jom. Solat tarawih di Masjid Kongsi selama 30 hari berturut-turut dan dapatkan duit raya bernilai RM100 yang akan diberikan pada malam raya,” tulis poster muat naik program tersebut.
Menurut hantaran itu lagi, kanak-kanak yang menyertai program tersebut perlu menghabiskan solat tarawih secara berjemaah sebanyak lapan rakaat sahaja.
Kanak-kanak yang menyertai harus mendaftarkan diri mereka selepas setiap kali solat tarawih di pejabat Masjid.
Selain itu, program itu terbuka kepada semua kanak-kanak dan remaja lelaki mahupun perempuan yang berusia bawah 17 tahun sahaja.
BACA: Patutnya Kena Bayar RM22.40, Sekali Kat Kaunter Cashier Minta RM8 Ja
Program menarik seperti ini mampu menarik lebih ramai jemaah untuk datang ke masjid bagi memeriahkan lagi suasana masjid di bulan Ramadan.
Diharapkan program anjuran Kariah Jawatankuasa Masjid At Taqwa Kongsi ini mampu menarik lebih ramai golongan muda untuk mengimarahkan masjid.
Mengimbau zaman kanak-kanak dahulu, ramai ibu bapa akan memberikan galakan kepada anak mereka untuk berpuasa penuh dengan memberikan ganjaran. Konsep yang sama seperti Masjid At Taqwa lakukan iaitu dengan pemberian duit raya RM1 sehari jika berpuasa dengan penuh.
Sumber: Masjid At Taqwa Kongsi via Facebook