Siakap Keli
curi motor jemaah
Gambar: Bernama

Dipercayai Curi Motor Jemaah Masjid, Dua Lelaki Ditahan 

Dipercayai Curi Motor Jemaah Masjid, Dua Lelaki Ditahan 

TEMERLOH — Polis Daerah Temerloh berjaya menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes mencuri motosikal di Masjid Sultan Ahmad Shah, Kerdau semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 9.27 malam oleh orang awam.

Difahamkan, kedua-dua suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur 19 dan 21 tahun.

Sebelum ini, kejadian tersebut dilaporkan berlaku sekitar jam 8.17 malam di lokasi tersebut.

Curi Motor Jemaah

“Suspek telah berjaya membawa lari motosikal berkenaan ketika jemaah lain sedang menunaikan solat,” katanya.

Tambah Azhar, jenayah tersebut berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV). Klip berdurasi seminit 51 saat itu juga tular di media sosial.

“Berdasarkan siasatan pihak polis, pada jam 10.30 malam, Polis Bantuan Ladang Sime Darby yang bertugas di pos pengawal telah melihat rakaman video kejadian yang tular di Facebook,” katanya.

BACA JUGA: Polis Tahan Dua Lelaki Bermotosikal Disyaki Ganggu Wanita

Kelibat suspek berjaya disedari ketika menunggang motosikal tersebut dan melalui pos pengawal polis bantuan sebelum masuk ke dalam kawasan ladang yang terletak kira-kira 21 kilometer.

“Susulan itu, polis bantuan telah membuat rondaan di dalam kawasan ladang untuk mengesan suspek.

“Pada hari yang sama lebih kurang 11.30 malam, pasukan Polis Bantuan Ladang Sime Darby berjaya menahan kedua-dua lelaki berkenaan bersama motosikal curi di kawasan rumah ladang.

“Motosikal berkenaan kemudiannya diserahkan kepada polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh,” katanya lagi.

Menurut Azhar, kedua-dua suspek merupakan pekerja kontrak mengutip buah di ladang tersebut. Hasil semakan mendapati salah seorang suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik.

Sehubungan itu, dua lelaki terbabit telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. Ia bermula pada hari ini 29 Mac hingga 1 April 2023 bagi siasatan lanjut.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

“Pihak polis mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Polis Bantuan Ladang Sime Darby Kerdau serta masyarakat. Hal ini kerana sentiasa memberi komitmen dan membantu pihak polis dalam membanteras kegiatan jenayah seperti ini.

“Orang ramai juga dinasihati supaya sentiasa peka dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya. Ia bagi melindungi diri dan harta benda,” katanya lagi.

Sumber: Polis Temerloh 

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.