Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelajar Tingkatan Dua Maut, Kemalangan Dengan Lori Buat “U-turn”
Seorang pelajar tingkatan dua maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori yang sedang membuat pusingan U.
Memetik laporan Astro Awani, nahas tersebut berlaku kira-kira 1.50 petang tadi di KM 17 Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang, berhampiran Kampung Binjai Rendah, di Marang.
Akibat kemalangan tersebut, mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketika kejadian, mangsa sedang menunggang sebuah motosikal model Modenis Kriss dari arah Kuala Terengganu, menghala ke Kuala Berang.
Sejurus tiba di kawasan kemalangan, sebuah lori yang dipandu warga emas yang berusia dalam lingkungan 70 tahun membuat pusingan U di kawasan yang dibenarkan. Lori tersebut dalam perjalanan dari Kuala Berang menghala ke Kuala Terengganu.
Pada masa yang sama, mangsa juga tiba di lokasi lori tersebut sedang membuat pusingan U. Akibat jarak antara kedua-duanya yang sudah dekat, mangsa gagal mengelak dan kemalangan berlaku.
Polis mengesahkan kejadian tersebut berlaku.
Terdahulu, seorang murid perempuan berusia sembilan tahun maut akibat digilis treler ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang pada 22 Mac lalu.
Memetik Bernama, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada 11.25 pagi.
Kemalangan tersebut melibatkan sebuah treler yang melanggar motosikal dinaiki mangsa bersama seorang wanita berumur 54 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.
“Wanita yang juga pengasuh kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut mengambil mereka dari sekolah dan dalam perjalanan pulang.
“Pengasuh dan kanak-kanak lelaki tersebut masing-masing cedera ringan, manakala kanak-kanak perempuan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala wanita dan kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.
Sumber: Astro Awani