Siakap Keli
pembangkang keluar dewan
Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Pembangkang Keluar Dewan Rakyat, Protes Tidak Bahas Isu KWSP

Ahli Parlimen Pembangkang Keluar Dewan Rakyat, Protes Tidak Bahas Isu KWSP

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) — Permulaan persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas semua Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas tidak berpuas hati apabila permintaan untuk membahaskan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar ditolak.

Antara yang kelihatan meninggalkan Dewan Rakyat ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN-Machang), Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).

Wan Ahmad Fayhsal sebelum itu bangkit membawa perkara berkenaan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) meminta kebenaran untuk membahaskan perkara itu kerana ia berkaitan dengan kepentingan orang ramai dan memaklumkan permohonannya membawa usul berkenaan pagi ini telah ditolak pejabat Dipertua Dewan Rakyat, Jumaat lepas.

“Usul berkenaan telah ditolak dengan alasan bahawanya Menteri Kewangan dan timbalannya telah menjelaskan berhubungan pengeluaran bersasar ini.

“Tetapi saya mendapat banyak pandangan dan keresahan daripada rakyat bahawa penjelasan dan ulasan daripada menteri dan timbalan menteri kewangan baru-baru ini tidak memuaskan, jadi izinkanlah kami untuk bahas perkara ini hari ini dengan berbaki dua hari lagi tamat sesi persidangan,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong menolak perkara itu dan memaklumkan mengikut Peraturan Mesyuarat 43 keputusan Speaker adalah muktamad dan sekiranya tidak berpuas hati, usul itu boleh dikemukakan sekali lagi.

Namun keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa Ahli Parlimen termasuk Shahidan dan Hamzah yang bangkit memohon supaya Alice mempertimbangkan perkara itu sekali lagi kerana ia menyentuh kepentingan, namun Alice tegas dengan keputusan yang telah dibuat.

“Kalau begitu caranya…kalau tidak mahu ia dibahaskan, kita boleh keluar untuk menunjukkan kita protes perkara ini,” kata Hamzah yang kemudian bertindak keluar dewan sebelum diikuti oleh Ahli Parlimen pembangkang yang lain.

Timbalan Speaker kemudian mempersilakan mereka berbuat demikian.

Bagaimanapun ahli pembangkang dilihat memasuki semula Dewan Rakyat selepas mengadakan sidang media di luar dewan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan 2023 yang dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?