MBSB Bank Buka Permohonan Pinjaman Bercagar KWSP Mulai Esok
MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) memaklumkan pihaknya akan membuka permohonan pinjaman bercagar KWSP bermula esok.
Menerusi satu kenyataan media, kemudahan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) patuh syariah Ihsan-i itu ditawarkan kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
”Kemudahan Ihsan-i yang disediakan oleh MBSB Bank ini bertujuan membantu ahli KWSP yang berusia 40 hingga 55 tahun. Iaitu mereka yang memiliki i-Akaun KWSP dan mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 di dalam Akaun 2 untuk mendapatkan pembiayaan peribadi patuh Syariah ini dengan kadar kompetitif,” kata kenyataan itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib, jumlah pembiayaan maksimum adalah RM 50,000 dan dibayar dalam tempoh sehingga 10 tahun.
MBSB buka permohonan pinjaman bercagar KWSP esok
”Pemohon perlu membuat pembayaran ansuran bulanan sepanjang tempoh pembiayaan mengikut terma yang ditetapkan oleh pihak Bank. Ansuran bulanan Ihsan-i pada tahun pertama adalah lebih rendah kerana pelanggan hanya perlu membayar kadar keuntungan sahaja,” katanya.
Ihsan-i oleh MBSB Bank merupakan produk pinjaman berlandaskan Syariah dan menggunapakai konsep
Tawarruq. Antara kelebihannya adalah kadar keuntungan yang rendah, tiada caj proses dan tiada caj penamatan awal.
Selain itu, Ihsan-i juga akan memberi rebat atau Ibra’ atas kadar keuntungan Bank sekiranya pembayaran baki pembiayaan ditamatkan lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui.
Boleh mohon secara atas talian
Permohonan Ihsan-i dibuka secara atas talian dan ahli KWSP boleh memohon menerusi www.fsa2mbsbbank.com. Maklumat lanjut berkenaan Ihsan-i juga boleh diperolehi menerusi laman sesawang yang sama.
Terdahulu pada 9 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan kaedah yang membenarkan pencarum KWSP membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai kolateral atau cagaran kepada bank.
Bagaimanapun kaedah itu hanyalah bagi mereka yang benar-benar terdesak dan memerlukan wang.
Anwar berkata ia merupakan Iangkah terbaik yang boleh dilakukan sekarang memandangkan ketika ini banyak negara yang memberikan kelonggaran seperti pengeluaran dana persaraan telah menghentikan atau membatalkan kemudahan itu.
BACA: Malaysia Kutuk Sekeras-Kerasnya Serangan Tentera Israel Terhadap Jemaah Di Masjid Al-Aqsa
Sumber: MBSB Bank, BERNAMA