Siakap Keli
UMNO pengampunan penuh najib
Gambar: Bernama

UMNO Bakal Mohon Agong Pertimbangkan Untuk Beri Pengampunan Penuh Kepada Najib

UMNO Bakal Mohon Agong Pertimbangkan Untuk Beri Pengampunan Penuh Kepada Najib

Majlis Kerja Tertinggi UMNO dilaporkan bakal memohon kepada Yang Dipertuan Agong untuk memberi pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Memetik Astro Awani, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pertimbangan itu dibuat selaras dengan kuasa yang dimiliki Seri Paduka Baginda. Kuasa yang termaktub di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Rayuan pengampunan itu dibuat selepas keputusan Mahkamah Persekutan baru-baru ini menolak permohonan yang dikemukakan untuk menyemak semula sabitan kes dan hukuman penjara yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Sabitan kes tersebut dibuat berhubung dengan kes dana SRC yang membabitkan dirinya.

“Majlis Kerja Tertinggi mengambil maklum kedukacitaan dan keresahan yang amat sangat ahli-ahli UMNO di akar umbi terhadap keputusan yang dilihat tidak adil.

“Ia seiring dengan kenyataan penghakiman yang dizahirkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan.

“Beliau turut menyatakan bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil dan wajar dibebas dan dilepaskan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

191 bahagian UMNO menyokong pembebasan Najib

Menurut Asyraf sehingga setakat ini, MKT UMNO telah menerima sebanyak 191 memorandum daripada Wanita dan Sayap-Sayap Pergerakan Pemuda serta Puteri.

Memorandum tersebut dibuat bagi menyatakan sokongan kepada pembebasan bekas Presiden itu. Presiden yang disifatkan telah memberikan sumbangan bakti yang banyak kepada rakyat dan negara.

Selain itu, MKT UMNO juga dengan sebulat suara telah bersetuju bagi memohon menghadap Yang Dipertuan Agong untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Memorandum berkenaan dikatakan telah ditandatangani oleh seluruh kepimpinan UMNO dari 191 bahagian di seluruh negara.

Sementara itu, MKT UMNO juga telah menetapkan tarikh 7 hingga 10 Jun depan sebagai tarikh Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2023.

BACA: “Berhabis Beli Baju Sekolah, Terus ‘Standby’ Modal Raya Pula,” Ni Cara Nak Kurangkan Kos Persiapan Raya Sampai 85%

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak. Permohonan untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun.

Ia termasuk denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan majoriti itu dibacakan oleh hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

Anggota panel lain ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Sumber: Astro Awani

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka