Siakap Keli

Strategi Serampang Dua Mata Kolaborasi PERKESO Dan JPM Dalam Menyediakan Peuang Pekerjaan Kepada Bekas Banduan & Atasi Isu Kekurangan Tenaga Kerja

KUALA LUMPUR, 6 April 2023 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) hari ini telah memeterai Nota Kolaborasi (NoC) dalam usaha memperluaskan peluang kerjaya, meningkatkan kemahiran dan  menyediakan perlindungan sosial kepada Orang Diparol (ODP), Orang Diselia (ODS)  dan Orang Bebas Berlesen (OBB). 

Dalam Majlis Menandatangani NoC ini, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz  Mohammed mewakili PERKESO dan KJP Dato’ Haji Nordin Haji Muhamad,  Komisioner Jeneral Penjara mewakili JPM. Manakala Yang Berhormat Tuan V.  Sivakumar, Menteri Sumber Manusia menyaksikan pemeteraian NOC oleh kedua  belah pihak. 

Melalui penganjuran program-program intervensi awal termasuk program  penempatan pekerjaan menerusi Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara  MYFutureJobs, NoC ini dapat memberi impak signifikan terutamanya bagi meningkatkan pengambilan pekerja oleh majikan dalam kalangan banduan dan bekas  banduan. Selain itu, usaha sama ini juga dijangka dapat menangani isu kekurangan  tenaga kerja di negara ini. 

Kerjasama ini juga adalah lambang sokongan terhadap Projek Riben Kuning yang  bertujuan memberi peluang kedua kepada golongan mudah terjejas ini agar mereka  boleh kembali ke pangkuan masyarakat dengan kehidupan yang lebih baik setelah  selesai menjalani hukuman. Kolaborasi ini, yang dilaksanakan secara sistematik, akan 

menyumbang kepada pemerkasaan potensi modal insan sebagai pemacu  pembangunan strategik negara. Intervensi yang akan meningkatkan kemahiran  golongan sasar dalam pelbagai bidang ekonomi dan menyediakan peluang-peluang  pekerjaan, diharap dapat menghapuskan stigma negatif masyarakat terhadap  golongan ini dan memberi sinar baharu dalam hidup mereka. 

Menurut Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar, pemeteraian NoC di antara  PERKESO dengan Jabatan Penjara Malaysia mempunyai implikasi positif dalam  memberi peluang kedua kepada golongan ini, sekali gus membantu mereka  menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu selepas keluar dari penjara atau  Sekolah Henry Gurney.  

Beliau juga menyarankan agar para majikan di seluruh negara memberi peluang  kepada golongan ini untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada termasuklah  jawatan yang kebiasaannya diisi oleh pekerja asing. 

“Saya yakin usaha ini dapat direalisasikan sekiranya kelulusan bagi permohonan  pekerja asing yang diberikan mensyaratkan majikan mengambil golongan ini  atau menunjukkan usaha untuk menggajikan golongan banduan dan bekas  banduan terlebih dahulu sebelum membuka peluang tersebut kepada pekerja  asing,” kata beliau dalam Ucaptamanya di Majlis tersebut. 

KJP Dato’ Haji Nordin Haji Muhamad pula menyatakan cabaran yang dihadapi  Jabatan Penjara Malaysia ketika ini adalah kemasukan semula pekerja asing yang mengakibatkan syarikat-syarikat mula menarik diri dari program Corporate  Smart Internship (CSI), yang memberi kesan terhadap penawaran pekerjaan  kepada golongan ini.  

“Oleh yang demikian, Jabatan Penjara Malaysia amat berharap ehsan dari Yang  Berhormat Tuan V. Sivakumar atas kapasiti Menteri Sumber Manusia untuk  meletakkan suatu syarat atau polisi sejumlah kuota pengambilan pekerja oleh pihak  majikan dari kalangan golongan banduan.  

“Memperlihatkan komitmen serta iltizam bersama semua pihak dalam menghayati konsep Malaysia Madani, ia akan memberi kesaksamaan peluang untuk  meneruskan kelangsungan kehidupan yang bermakna bagi golongan ini,” kata beliau  dalam Ucapannya. 

Pengerusi Lembaga PERKESO, Yang Berbahagia Dato’ Sri Subahahan Kamal pula menyatakan keyakinannya bahawa kerjasama PERKESO dengan JPM dapat  mengubah nasib golongan terpinggir ini ke arah yang lebih baik menerusi  peningkatan potensi mereka untuk memperoleh pekerjaan yang stabil.  

“Mesej yang ingin kami sampaikan kepada masyarakat umum adalah walaupun  langit tak selalu cerah, namun awan juga tak selalu mendung. Masih ada  peluang dan ruang untuk menebus kesilapan lalu dan memperbaiki kehidupan masa  depan,” menurut beliau.  

Sejak tahun 2021 ingga Mac 2023, terdapat pelbagai inisiatif kerjasama yang telah  dilaksanakan oleh PERKESO dan JPM seperti Program Penempatan Penghuni  Bebas Lesen (PBL) yang melibat 235 orang pelatih Sekolah Henry Gurney.  Selain itu, Program Re-Entry@MYFutureJobs memberi sokongan kepada para 

majikan di Malaysia untuk menggajikan bekas banduan di mana seramai 409 bekas  banduan telah ditawarkan pekerjaan

Kerjasama daripada rakan strategik seperti Microsoft turut membantu  meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran banduan dan bekas banduan dalam  kemahiran digital yang menjadi keperluan dalam dunia pekerjaan yang semakin  kompetitif. Sebagai salah satu rakan kerja utama Microsoft dalam peningkatan  kemahiran digital, PERKESO dapat menawarkan peluang pekerjaan dalam ekonomi  digital kepada golongan terpinggir ini, terutamanya ODP, menerusi bantuan latihan  kemahiran digital oleh Microsoft. 

Kerjasama strategik antara PERKESO dan JPM dapat menyumbang kepada  pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan menepati prinsip “no one is left  behind”, tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Ia juga akan membantu perluasan  perlindungan sosial kepada semua golongan lapisan masyarakat, selaras dengan konsep Madani yang mengiktiraf hak setiap warganegara Malaysia tanpa mengira  latar belakang demi kehidupan yang mampan dan sejahtera. 

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.