Siakap Keli
kanak-kanak rentung
Kredit: BERNAMA

Kanak-kanak Perempuan Rentung Dalam Kebakaran Rumah

Kanak-kanak Perempuan Rentung Dalam Kebakaran Rumah

GEORGE TOWN, 10 April (Bernama) — Seorang kanak-kanak perempuan rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Pisang, Jalan Paya Terubong di sini, malam tadi.

Mangsa G. Sri Laavanya, 7, meninggal dunia dalam kebakaran itu manakalanya neneknya melecur di tangan namun dilaporkan stabil.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong Mohd Shakir Abdullah berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.19 malam dan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

“Sebaik tiba kami mendapati dua buah rumah yang terletak bersebelahan dengan setiap rumah berkeluasan 464 meter persegi sedang terbakar dan api marak, pihak bomba menjalankan operasi pemadaman.

“Kami turut menerima maklumat awal memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak yang terperangkap di dalam rumah dan selepas kerja pemadaman selesai, pihak bomba menjalankan pemeriksaan dan menemukan mayat mangsa dalam keadaan rentung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Shakir berkata mayat kanak-kanak perempuan itu ditemukan dalam bilik tidur di rumah pertama yang terbakar lebih 80 peratus pada 12.33 tengah malam tadi manakala rumah kedua terbakar kira-kira 50 peratus.

Katanya kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke rumah berhampiran pada 12.45 tengah malam dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian.

“Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Penyiasatan Kebakaran (FIO) bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut.

Dua beradik rentung dalam kebakaran di Gombak

Gambar: JPBM Selangor

Sebelum ini, media melaporkan dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Kampung Simpang Tiga, Gombak.

Mangsa yang maut ialah Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan berusia tujuh tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.54 pagi dan 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dan Rawang serta Pasukan Bomba Sukarela Gombak telah diarahkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemukan rentung di sebuah bilik dan dipercayai terperangkap ketika kejadian berdasarkan keadaan mayat. Kebakaran itu melibatkan kemusnahan dianggarkan kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan rumah dan kedua-dua mangsa dibawa keluar pada 4.43 pagi,” katanya.

Norazam berkata ketika kejadian, ibu bapa mangsa tidak berada di rumah dan pintu rumah telah dikunci.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.