KUALA LUMPUR, 14 April 2023 – Memegang teguh prinsip “Sentiasa Bersamamu”, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd melalui program Cahaya Ramadan, mengedarkan sebanyak 25,000 buku roti putih utama mereka, Original Classic 400g di 20 masjid terpilih di Semenanjung Malaysia. Ini adalah tahun ketiga program ini dijalankan sejak 2021, dan setiap tahun lokasi masjid diperbaharui.
Dengan slogan “Sinar Keberkatan Dalam Setiap Kebaikan”, program Cahaya Ramadan bersama Gardenia merupakan satu inisiatif yang diwujudkan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan, terutamanya ketika bulan Ramadan yang mulia ini.
Fasa pandemik lalu telah memberi impak kewangan yang besar kepada masyarakat. Lebih dari 20% golongan di dalam kategori M20 kini berada di dalam kategori B40. Maka dengan itu, Gardenia Bakeries mengorak langkah untuk sentiasa bersama rakyat Malaysia dan salah satu caranya adalah dengan perlaksanaan program ini.
Majlis Berbuka Puasa di SMK Seri Pantai, Bangsar South di bawah program Cahaya Ramadan Bersama Gardenia hari ini, diadakan bersama 50 buah keluarga murid-murid sekolah yang kurang berkemampuan. Selain menerima Duit Raya sebanyak RM200 setiap seorang, mereka juga diberikan bantuan barangan runcit seperti beras, nasi himpit, susu, gula, kuih raya dan pelbagai lagi barangan lain yang bernilai RM200. Gardenia Bakeries berharap bantuan ini sedikit sebanyak akan membawa kegembiraan kepada mereka terutamanya ketika menyambut Syawal yang bakal tiba nanti.
Dana untuk barangan runcit ini diraih melalui hasil jualan Sandwic RM1 Gardenia Sentiasa Bersamamu yang diadakan di stesen-stesen LRT awal tahun ini. Sebanyak 10,000 sandwic berjaya dijual melalui kempen tersebut. Manakala pemberian wang tunai pula adalah peruntukan tambahan daripada pihak Gardenia Bakeries.
Bercakap tentang intipati program ini, Puan Ena Suhaila binti Abas selaku Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries turut berkata, “Ianya sangat bermakna buat Gardenia Bakeries kerana dapat menyebarkan keberkatan dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan sempena bulan Ramadan yang mulia ini. Kami juga amat berbesar hati di atas sokongan daripada YB, Tuan Fahmi Fadzil – Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Menteri Komunikasi dan Digital bersama dengan Puan Hajah Norhayati Binti Haji Ab Wahab – Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang turut bersama dengan kami untuk menjayakan program hari ini.’’
Menurut YB Fahmi Fadzil, kolaborasi di antara kerajaan dan pihak swasta sebegini amat bagus dan sepanjang bulan Ramadan, pihak beliau berusaha berganding bahu bersama syarikat-syarikat bagi menyantuni keluarga B40. Tambah beliau lagi, usahasama seperti ini amatlah dialu-alukan bagi kepentingan rakyat Malaysia.
Selain bantuan tunai, barangan runcit dan beberapa buah tangan yang lain, para tetamu juga disajikan dengan hidangan istimewa Nasi Briyani Jasmine PusaCream, bersama dengan hidangan-hidangan lazat yang lain semasa majlis berbuka puasa tersebut.
Puan Ena Suhaila turut menambah, “Gardenia Bakeries bukan sahaja peneraju pasaran, tetapi kami juga ingin menjadi contoh peneraju di dalam memegang teguh tanggungjawab sosial kami kepada rakyat Malaysia. Ianya sangat bermakna bagi kami dalam usaha untuk menghulurkan sedikit sebanyak bantuan kepada pengguna kami dalam persiapan mereka untuk menyambut Hari Raya yang bakal tiba.”