Siakap Keli
Penjara 56 bulan culik ejen kosmetik
Kredit BERNAMA

Buruh Dipenjara 56 Bulan Culik Ejen Kosmetik

Buruh Dipenjara 56 Bulan Culik Ejen Kosmetik

PASIR MAS, 18 April (Bernama) — Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 56 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menculik ejen jualan kosmetik wanita, tahun lepas.

Tertuduh 27 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menculik mangsa yang berusia 37 tahun, di Kampung Semat Jal Palekbang, Tumpat pada 5.10 petang 13 Sept tahun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Merayu kurangkan tempoh penjara

Tertuduh dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengurangkan tempoh penjara yang dihadapinya.

Sementara itu, Hajarul Falenna meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana mengambil kira kesalahan berat iaitu menculik yang dilakukan  tertuduh, selain mengambil kira kepentingan awam dan keselamatan mangsa terlibat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 56 bulan dan hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 12 April lepas.

Mengikut fakta kes, pengadu telah membuat laporan polis mengatakan anak perempuannya diculik selepas didatangi dua lelaki yang mencari mangsa di dalam rumah.

Seorang lelaki kemudian mengheret mangsa ke luar rumah. Mangsa menjerit dan pengadu mengejar untuk menolong mangsa sehingga ke kereta Toyota Vios yang dinaiki suspek.

BACA: “Berhabis Beli Baju Sekolah, Terus ‘Standby’ Modal Raya Pula,” Ni Cara Nak Kurangkan Kos Persiapan Raya Sampai 85%

Ketika pengadu cuba menghalang, pengadu diacukan dengan senjata tajam oleh tertuduh namun diabaikan oleh pengadu. Kemudian, suspek yang bertopi cerah mengacukan pistol kepada pengadu.

Pengadu menjauhkan diri kerana berasa takut dan mengambil batu lalu membaling kepada kereta Toyota Vios itu. Mangsa kemudian berjaya dibawa lari oleh tertuduh dan dua suspek lain.

Berikutan itu, beberapa siri tangkapan dibuat bagi mengesan kedudukan mangsa dan polis kemudian berjaya mengesan Toyota Vios di kawasan pangkalan haram Kuala Tat, Tumpat.

Unit forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan terhadap kereta itu dan berjaya menimbulkan dua cap jari sempurna dan satu cap jari ditemui di cermin bahagian dalam kereta adalah milik tertuduh.

Siasatan awal juga mendapati mangsa diculik kerana suaminya yang berusia 37 tahun mempunyai hutang yang belum dibayar

Pada 12 April lepas, tertuduh ditangkap di Terengganu dan diserahkan kepada IPD Tumpat untuk tindakan.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka