Tol Percuma & Cuti Tambahan, Ini Pengumuman Penuh PM Tadi
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi mengumumkan beberapa inisatif bersempena sambutan Aidilfitri.
Beliau mengumumkan tujuh inisiatif yang bakal memberikan kemudahan kepada rakyat Malaysia, ketika Aidilfitri serta ketika di luar konteks perayaan.
Inisiatif Tol rahmah dan cuti tambahan bersempena Aidilfitri diumumkan PM
Kata Anwar, rakyat Malaysia bakal menikmati Tol Rahmah berupa pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk perjalanan ke kampung halaman.
Difahamkan, pengecualian bayaran tol tersebut akan bermula pada 19 sehingga 21 April 2023 selama tiga hari.
Seterusnya, pengecualian turut diberikan pada hari Isnin (24 April 2023) bagi memudahkan perjalanan pulang ke kediaman masing-masing.
Tambah Anwar, inisiatif tol Rahmah ini akan melibatkan sebanyak 33 buah lebuhraya bagi semua kelas kenderaan untuk Aidilfitri ini.
Baginya, inisiatif ini disifatkan bakal mengurangkan kos perjalanan pulang ke kampung halaman serta membantu dalam perancangan perjalanan.
Diskaun barangan mentah untuk inisiatif menu rahmah
Seterusnya, kerajaan telah mengeluarkan satu langkah proaktif bagi menampung kos bahan mentah dalam melestarikan pelaksanaan Menu Rahmah dalam kalangan pengusaha.
Anwar berkata, pihak kerajaan bersama beberapa pasaraya terpilih akan menawarkan diskaun khas terhadap harga barangan mentah seperti ayam, bawang dan lain-lain lagi.
“Dengan ikhtiar ini, diharapkan dapat memberikan kelegaan kepada para pengusaha yang telah memberikan dokongan terhadap kejayaan Menu Rahmah ini,”
Baginya, perkara ini turut memberikan manfaat kepada sebahagian besar rakyat Malaysia yang menggunakan Menu Rahmah.
Kadar saman khas PDRM
Anwar juga memaklumkan PDRM akan memberikan kadar khas bayaran saman bermula 21 April sehingga 21 Mei 2023.
Difahamkan bahawa kadar khas bayaran sama ini adalah bagi semua kesalahan trafik PDRM pada tahun 2022 dan tahun sebelumnya.
Urusan saman boleh diuruskan dengan kadar hanya RM50 sahaja. Sungguhpun begitu, kadar khas ini tidak tertakluk pada kesalahan trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023.
Anwar menegaskan, PDRM sentiasa komited dalam memastikan keselamatan jalan raya pada tahap yang optimum terutamanya pada musim perayaan.
Oleh itu, PDRM bakal melancarkan Ops Lancar pada 18 sehingga 19 April 2023 dengan memfokuskan terhadap laluan yang dijangka bakal mengalami kesesakan.
Manakala Ops Lancar 20 pula akan dijalankan selama tujuh hari bermula dari 2o April 2023 dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.
PDRM bakal berkerjasama bersama beberapa agensi kerajaan lain seperti RELA dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam memastikan laluan-laluan hotspot tidak berlaku kesesakan.
Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL)
Jabatan Penjara Malaysia dimaklumkan bakal melaksanakan pelepasan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) atas tema ‘Ihsan Madani. Kepulangan Dinanti’.
Kata Anwar, ikhtiar ini bakal memberikan peluang kepada penghuni penjara yang beragama Islam bagi menyambut Aidilfitri bersama tersayang.
Bukan itu sahaja, banduan bukan beragama Islam turut berpeluang untuk mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga masing-masing.
PBSL di bawah seliaan institusi penjara-penjara di Malaysia akan melibatkan lebih dari 1000 penghuni penjara sepanjang Ramadan.
Tambah Anwar, tempoh ini dijangka mencecah sehingga Syawal berikutan jumlah penghuni berkenaan.
Rumah Mampu milik Rakyat
Kerajaan telah berganding bahu bersama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia dalam mengurangkan harga simen pada paras harga yang berpatutan.
Harga simen yang berpatutan ini dapat memberikan manfaat terhadap pembangunan rumah mampu milik yang bernilai kurang daripada RM 300,000.
Pembangunan rumah mampu ini difahamkan bakal menumpukan terhadap golongan B40 dan M40.
Selain itu, pemberian insentif sebanyak RM120 juta diberikan kepada pihak pemaju swasta bagi menampung pembinaan sehingga 24 ribu unit.
Penambahan peruntukan untuk Jalan Persekutuan
Seterusnya, Anwar bersama beberapa pihak berkaitan telah berbincang berkenaan pembaikpulihan jalan-jalan persekutuan.
Anwar difahamkan, jalan-jalan negeri sudah dalam keadaan yang teratur. Walau bagaimanapun, pihaknya mendapati Jalan Persekutuan berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.
Oleh sebab itu, kerajaan telah menambah lagi peruntukan pembangunan sebanyak RM200 juta dan melibatkan kontraktor-kontrakor bumiputera.
Pelepasan cuti am mengikut tarikh 1 Syawal
Memandangkan tarikh 1 Syawal bakal diumumkan oleh Penyimpan Mohor-mohor Diraja pada Khamis (20 April 2023), kerajaan bersetuju untuk mengumumkan hari kelepasan am mengikut tarikh jatuhnya 1 Syawal tahun ini.
Jika 1 Syawal jatuh pada Jumaat (21 April 2023), hari kelepasan akan diberikan pada Isnin (24 April 2023). Namun, jika 1 Syawal jatuh pada Sabtu (22 April 2023), hari kelepasan am akan diberikan pada Jumaat (21 April 2023).
Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan Negeri akan memberikan hari kelepasan am berdasarkan ordinan-ordinan hari kelepasan am masing-masing.
Pada akhir kenyataan, Anwar mengatakan Kerajaan Perpaduan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia. Manakala perincian maklumat berkenaan beberapa inisiatifnya bakal dikeluarkan oleh pihak berkaitan tidak lama lagi.
Beliau turut berkesempatan mengucapkan selamat menyambut Ramadan yang berbaki dalam beberapa hari sahaja serta Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.
BACA: Tak Jadi Bercerai, Syamsul Tak Lafazkan Cerai Ke Atas Puteri Sarah
Sumber: Siaran Langsung Sinar Harian