Tol RAHMAH: Ini Maklumat Penting Pengguna Jalan Kena Tahu
Kementerian Kerja Raya memaklumkan bahawa pihaknya menyambut baik inisiatif tol rahmah diumumkan Kerajaan Perpaduan sebentar tadi.
Pengumuman itu dibuat bersempena sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2023 beberapa hari lagi.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata pemberian tol percuma itu akan dinikmati oleh semua pengguna lebuh raya selama empat hari.
“Bermula jam 12.01 pagi pada 19 April 2023 (Rabu) sehingga jam 11.59 malam pada 21 April 2023 (Jumaat). Manakala hari keempat bermula jam 12.01 pagi sehingga jam 11.59 malam pada 24 April 2023 (Isnin),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Alexander, inisiatif ini menunjukkan keikhlasan serta keprihatinan kerajaan dalam membantu mengurangkan kos bayaran tol sewaktu musim perayaan ini.
Pemberian tol percuma selama empat hari itu juga melibatkan kesemua 33 lebuh raya.
“Sebelum ini, tempoh terpanjang bagi tol percuma adalah selama dua hari iaitu bersempena perayaan Tahun Baru Cina 2023 di semua lebuh raya.
“Kerajaan juga pernah memberikan tol percuma bagi semua kelas kenderaan sempena perayaan Aidilfitri 2022. Tetapi ia hanya terhad di tujuh lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS Malaysia Berhad dan dua lebuh raya di bawah Kumpulan ANIH Berhad.
“Manakala lain-lain lebuh raya pula hanya menawarkan kadar diskaun sebanyak 30 peratus sehingga 50 peratus bagi semua kelas kenderaan,” maklum Alexander.
Sehubungan itu, kementerian melalui Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) telah menyelaraskan kesemua syarikat konsesi lebuh raya. Ia bagi membuat persiapan rapi untuk menghadapi lonjakan trafik.
BACA JUGA: Sesak Teruk Di Lebuhraya Karak, Dari 12 Malam Sampai 5 Pagi Masih Tersangkut
Lebih-lebih lagi, pihaknya turut menjangkakan sebahagian besar daripada pengguna lebuh raya akan merebut peluang untuk menikmati tol percuma ini.
Pengguna juga berkemungkinan menyusun semula jadual perjalanan balik kampung susulan pengumuman tersebut.
Pengguna kad Touch ‘N Go, Smartag dan RFID
Sementara itu, penggunaan kad Touch ‘N Go, Smartag dan RFID masih diperlukan ketika melalui kawasan tol di semua lebuhraya yang terlibat.
“Walaupun tiada bayaran tol dikenakan untuk tempoh empat hari tersebut, pengguna kad Touch ‘N Go masih perlu menyentuh kad di peranti (reader) yang terdapat di lorong tol.
“Ia bagi membolehkan palang tol dibuka supaya pengguna boleh melepasi plaza tol yang dilalui.
“Manakala pengguna Smartag dan RFID (kecuali di Lebuhraya Pantai Timur 1 dan Lebuhraya Pantai Timur 2) juga masih perlu memperlahankan kenderaan apabila melalui lorong tol,” katanya lagi.
Susulan itu, KKR menasihati pengguna untuk membuat perancangan awal untuk pulang ke kampung. Selain itu orang ramai dinasihat mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan yang telah dikeluarkan oleh syarikat konsesi lebuh raya.
“Pengguna juga dinasihatkan agar mematuhi peraturan jalan raya serta papan tanda yang disediakan, memandu dengan cermat dan berhati-hati serta selamat sampai ke destinasi kampung halaman masing-masing.
“Sebelum memulakan perjalanan, pengguna lebuh raya digalakkan untuk menghubungi Pusat Pengurusan Trafik yang akan beroperasi selama 24 jam. Ia bermula pada 20 April 2023 hingga 26 April 2023 bagi mendapatkan maklumat trafik terkini atau sebarang insiden di lebuh raya.
“Pengguna boleh mendapatkan maklumat di media sosial rasmi LLM dan Syarikat Konsesi seperti Facebook rasmi LLM dan Twitter @llmtrafik. Talian hotline TMC LLM 1800-88-7752,” jelasnya dalam kenyataan itu.
Oleh itu, Kementerian Kerja Raya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan sentiasa berhati-hati ketika memandu di lebuh raya.
Sumber: Facebook Alexander Nanta Linggi