Google Dilapor Sekat 36 Aplikasi Android Kerana Isu Keselamatan
Pakar keselamatan telah menemui satu ancaman baharu terhadap telefon pintar Android dan jutaan pengguna diminta untuk memeriksa peranti masing-masing dengan segera.
Serangan yang dapat dikesan oleh pasukan di McAfee Mobile Security itu mendapati bahawa ia mampu ‘menjangkiti’ aplikasi-aplikasi popular dan ‘memulakan tugasan’ tanpa diketahui pemilik telefon pintar.
Apabila aplikasi yang telah ‘dicemari’ ini dipasang pada peranti, ia boleh digunakan oleh penjenayah untuk melihat sejarah Wi-Fi, peranti Bluetooth yang disambungkan ke telefon, aplikasi yang sedang digunakan dan sebagainya.
Hal ini termasuklah mengesan lokasi berdekatan dengan menggunakan GPS. Ini bermakna, penjenayah dapat mengesan kedudukan anda secara tepat.
Lebih teruk, penggodam boleh ‘menjana pendapatan’ melalui iklan penipuan dengan semudah satu klik sahaja.
Serangan jenis ini juga sangat dikenali dengan kemampuannya untuk memperlahankan kadar kelajuan peranti. Hal ini kerana, iklan-iklan ini membuatkan sesetengah peranti berkerja lebih keras dan memberikan beban data yang berlebihan.
Oleh sebab itu, serangan terbaharu ini dilihat sebagai isu besar apabila aplikasi-aplikasi yang terjejas telah dimuat turun sebanyak jutaan kali.
Pasukan pengkaji telah menemui lebih dari 60 aplikasi yang mengandungi kandungan perpustakaan (library) pihak ketiga yang sangat meragukan. McAfee mengesahkan bahawa aplikasi-aplikasi ini telah mencapai jumlah muat turun sebanyak lebih daripada 100 juta.
Selain itu, pasukan penyelidik turut memaklumkan kepada pihak Google berkenaan isu berkenaan.
Syarikat gergasi Amerika Syarikat tersebut meminta agar pembangun-pembangun aplikasi berkenaan memperbaiki aplikasi mereka ataupun ia akan disekat daripada Google Playstore.
Ketika beberapa pihak memberikan kerjasama dengan baik, terdapat lebih daripada 36 buah aplikasi telah disekat kerana tidak mencapai standard yang ditetapkan oleh Google.
“Kami telah melaporkan aplikasi-aplikasi tersebut kepada pihak Google untuk diambil tindakan
“Google dilaporkan telah memaklumkan pembangun-pembangun program berkenaan aplikasi mereka yang sudah melanggar polisi Google Play dan meminta mereka untuk memperbaikinya bagi mencapai standard yang ditetapkan.
“Beberapa aplikasi telah dibuang daripada Google Play, manakala yang lain telah dikemaskini oleh pihak pembangun aplikasi,” kata SangRyol Ryu, seorang staf di McAfee.
Anda boleh melihat senarai aplikasi-aplikasi tersebut di sini.
Setakat ini, isu ini disasarkan kepada pengguna telefon pintar di Korea Selatan dan tiada laporan dicatatkan di UK mahupun Malaysia.
Walau bagaimanapun, para pengguna Android diingatkan untuk sentiasa berwaspada sebelum memasang aplikasi baharu ke dalam peranti masing-masing.
Memetik Mirror, pengguna perlu memeriksa ulasan daripada pengguna lain di Google Play dan mengenalpasti jika terdapat sebarang perubahan selepas pemasangan aplikasi baharu dalam peranti anda.
Selain itu, memuat naik aplikasi dari sumber pihak ketiga merupakan satu tindakan yang agak berisiko. Hal ini disebabkan aplikasi-aplikasi berkenaan tidak menjalani pemeriksaan yang ketat yang dilaksanakan oleh pihak Google Play Store.
BACA: Tak Jadi Bercerai, Syamsul Tak Lafazkan Cerai Ke Atas Puteri Sarah
Sumber: Mirror