Menakjubkan, Keindahan Gerhana Matahari Separa Dirakam Di Sabah & Sarawak
KOTA KINABALU — Sekitar jam 11 pagi hingga 2 petang sebentar tadi, sebahagian rakyat malaysia berpeluang merakam kejadian gerhana matahari hibrid.
Memetik Bernama, pemandangan itu berlaku bersempena gerhana matahari hibrid yang berlaku ke utara dari benua Australia.
Berikutan itu, orang ramai di beberapa lokasi di negeri Sabah dan Sarawak dilapor sempat merakam fenomena menakjubkan itu.
Di daerah Sandakan Sabah, kejadian itu dapat disaksikan pada jam 12.07 tengahari tadi.

Manakala di Kuching, Sarawak turut berpeluang menyaksikan pemandangan litupan bulan pada permukaan matahari ketika maksimun gerhana mencapai 30 peratus.
Pemandangan Gerhana Matahari Hibrid
Menerusi gambar-gambar yang dirakam memaparkan berlaku pertindihan kedudukan antara matahari dan bulan.


Fenomena itu jelas menunjukkan gabungan bulan dan matahari dalam satu gambar.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai kelengkapan alat cerap turut tidak melepaskan momen-momen ini dengan lengkap memakai kaca mata khas walaupun berada di bawah sinar matahari.


Untuk makluman, kali terakhir gerhana matahari hibrid berlaku adalah pada 21 Jun 2020. Fenomena ini dilaporkan bakal berlaku semula sekitar empat tahun kemudian, 2 Ogos 2027.


MOSTI Maklum Fenomena Gerhana Matahari Hibrid
Sebelum ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memaklumkan kepada orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena itu, lapor Bernama.
BACA JUGA: Malaysia Alami Gerhana Matahari Separa Pada 20 April
Fenomena itu dijangka bermula 11 pagi hingga selewat-lewatnya 2 petang bagi pemerhati di Sabah. Manakala ia akan tamat lebih awal iaitu sekitar 1 tengah hari bagi pemerhati di Semenanjung.
Apa Itu Gerhana Matahari Hibrid?
Menurut Time And Date Gerhana matahari hibrid atau gerhana matahari separa berlaku apabila kedudukan Bulan berada di antara Matahari dan Bumi. Namun ia hanya menutupi sebahagian piring (kawasan) Matahari.
Semasa gerhana matahari separa, Bulan, Matahari dan Bumi tidak sejajar dalam garis lurus sempurna. Kedudukan Bulan hanya berada pada bahagian luar bayangnya, penumbra, ke Bumi.
Dari perspektif lain, ia kelihatan seperti Bulan menggigit atau menelan Matahari.
Kadangkala, Bulan hanya menutupi sebahagian kecil piring Matahari dan kadangkala ia kelihatan hampir seperti gerhana penuh.
Sumber: Bernama, Time And Date