Siakap Keli
zakat untuk bayi
Gambar: Bernama

Perlu Ke Ibu Bapa Keluarkan Zakat Untuk Bayi Yang Lahir Pada Pagi Raya? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Perlu Ke Ibu Bapa Keluarkan Zakat Untuk Bayi Yang Lahir Pada Pagi Raya? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Anak merupakan anugerah yang tak ternilai bagi dua insan yang bergelar ibu dan bapa. Kehadiran ahli baru ini akan disambut baik oleh orang disekelilingnya khususnya dalam keluarga besar.

Seperti yang diketahui, usia bagi kandungan normal sebelum dilahirkan adalah selama sembilan bulan. Apabila lahirnya mereka ke dunia ini, sudah menjadi tanggungjawab kedua orang tua dari segi memberi nafkah, pendidikan, agama dan sebagainya.

Namun, pada bulan Ramadan, umat Islam perlu melunaskan zakat fitrah sebelum pagi Raya. Jadi, timbul persoalan sekiranya anak atau bayi yang dilahirkan pada pagi raya adakah perlu dikeluarkan zakat untuknya?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari ikuti perkongsian di bawah.

Adakah Bayi Yang Dilahirkan Pada Pagi Raya Wajib Dikeluarkan Zakat Ke Atasnya?

Bayi Keluar Zakat
Gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, isteri saya tengah sarat mengandung dan dijangka melahirkan anak pada awal bulan Syawal, soalan saya, sekiranya anak saya lahir pada pagi raya Syawal ini, adakah saya wajib mengeluarkan zakat fitrah ke atasnya? Mohon pencerahan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Bayi yang lahir pada ketika matahari sedang tenggelam diwajibkan zakat oleh kerana matahari masih belum tenggelam sepenuhnya dan dia telah mendapat sejuzuk waktu Ramadan dan Syawal.

Adapun sekiranya seseorang bayi itu lahir pada malam hari raya yakni sesudah terbenam keseluruhan matahari, maka tidaklah diwajibkan zakat fitrah ke atasnya. Hal ini kerana, antara syarat diwajibkan zakat fitrah ialah seseorang itu mestilah hidup pada sebahagian hari terakhir bulan Ramadan dan sebahagian malam hari raya.

BACA JUGA: Hukum Beri Duit Raya, Adakah ‘Tasyabbuh’ Atau Menyerupai Budaya Kaum Lain? Ini Jawapan Mufti

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Nabi SAW bersabda:

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ ‏.‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas setiap manusia sebanyak segantang tamar atau segantang gandum (makanan asasi) iaitu ke atas setiap Muslim yang merdeka atau hamba sama ada lelaki mahupun perempuan.”

Riwayat Muslim (984)

Berdasarkan kepada hadis ini, setiap individu Muslim sama ada merdeka mahupun hamba sahaya dalam kalangan lelaki ataupun perempuan adalah wajib untuk mengeluarkan zakat fitrah pada bulan Ramadan. Hal ini termasuklah juga bayi[1].  

Berbalik kepada persoalan yang diutarakan berkenaan bayi yang lahir pada pagi hari raya, adakah turut wajib dikeluarkan zakat ke atasnya? Bagi menjawab permasalahan ini, pada dasarnya, seseorang yang diwajibkan zakat fitrah itu mestilah hidup pada sebahagian hari terakhir bulan Ramadan dan sebahagian malam hari raya[2].

Imam al-Nawawi ada menyebut sekiranya seorang bayi itu lahir selepas tenggelamnya matahari, maka tidak diwajibkan zakat fitrah ke atasnya[3].

BACA JUGA: Ini Penjelasan Berhubung Hukum Bayar Zakat Fitrah Mengikut Jenis Beras

Syeikh al-Bujairami turut menyebut di dalam Hasyiahnya[4], beliau menyebut:

قَوْلُهُ: (كُلِّ الشَّمْسِ) قَضِيَّتُهُ أَنَّهُ لَوْ وُلِدَ بَعْدَ غُرُوبِ جُزْءٍ مِنْهَا لَا يَتَعَلَّقُ بِهِ الْوُجُوبُ وَإِنْ أَدْرَكَ جُزْءًا مِنْ شَوَّالٍ لِعَدَمِ إدْرَاكِهِ كُلَّ الْغُرُوبِ وَلَيْسَ كَذَلِكَ، بَلْ تَجِبُ فِي هَذَا لِإِدْرَاكِهِ الْجُزْأَيْنِ.

Maksudnya: Permasalahannya adalah sekiranya bayi itu dilahirkan selepas terbenam sebahagian matahari, tidaklah diwajibkan zakat sekalipun dia mendapat sebahagian bulan Syawal oleh kerana dia tidak mendapat keseluruhan tempoh matahari yang terbenam. Namun, ia bukanlah begitu sebenarnya, bahkan dia wajib dikeluarkan zakat oleh kerana dia sebenarnya telah mendapat kedua-dua juzuk (bahagian) waktu tersebut.

Begitu juga sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh al-Dimyati, sekiranya isteri melahirkan anak selepas terbenamnya matahari atau ketika itu, maka tidak diwajibkan ke atas bapanya untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi pihak bayi tersebut. Hal ini kerana, bayi tersebut tidak mendapati dua bahagian waktu iaitu akhir bulan Ramadan dan awal bulan Syawal[5].

Imam al-Ramli ada menyebut, sekiranya syak akan kelahiran tersebut sama ada berlaku sebelum tenggelam atau sesudah terbenamnya matahari, maka tidak wajib zakat fitrah ke atanya atas sebab rasa syaknya itu. Begitu juga sekiranya janin itu keluar sebahagiannya sebelum matahari terbenam dan keluar pula sebahagian lagi sesudahnya, maka tidak wajib zakat ke atasnya atas sebab ia masih lagi janin yang tidak sempurna pemisahannya daripada rahim ibu[6]

BACA JUGA: Kadar Zakat Fitrah Selangor Kekal RM7

Kesimpulannya, bayi yang lahir sebelum terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari(masuk 1 syawal) diwajibkan keluar zakat ke atasnya.

Adapun sekiranya seseorang bayi itu lahir pada malam hari raya yakni sesudah terbenam keseluruhan matahari, maka tidaklah diwajibkan zakat fitrah ke atasnya. 

Hal ini kerana, antara syarat diwajibkan zakat fitrah ialah seseorang itu mestilah hidup pada sebahagian hari terakhir bulan Ramadan dan sebahagian malam hari raya. Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dan keikhlasan dalam beragama.

Wallahu A‘lam

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?