Siakap Keli
Apa Warna Pakaian Yang Sesuai Untuk Jalan-Jalan Ketika Cuaca Panas?
Kredit: Youtube

Apakah Warna Pakaian Yang Sesuai Untuk Jalan-Jalan Ketika Cuaca Panas?

Apakah Warna Pakaian Yang Sesuai Untuk Jalan-Jalan Ketika Cuaca Panas?

Bergerak dalam cuaca panas sangat memenatkan, lagi-lagi jika anda merupakan seorang pejalan kaki. Keadaan cuaca terik sudah semestinya menyebabkan badan anda merembeskan banyak peluh.

Bukan itu sahaja, pemilihan pakaian yang kurang bersesuaian dengan keadaan cuaca panas turut memberikan rasa tidak selesa ketika berjalan-jalan.

Oleh sebab itu, orang ramai dinasihatkan untuk memakai pakaian yang nipis dan memiliki pengaliran udara yang baik ketika cuaca panas.

Tahukah anda bahawa warna pakaian turut mempengaruhi tahap keselesaan pemakainya ketika cuaca yang terlalu panas.

Ada petua yang menggalakkan orang ramai untuk memakai pakaian yang berwarna cerah ketika keadaan ekstrem ini.

Namun, bagaimana dengan warna lain pula? Adakah pakaian yang berwarna selain warna putih adalah tidak bagus untuk cuaca panas?

Institut Kebangsaan Pengajian Alam Sekitar di Jepun telah menjalankan eksperimen ringkas berkenaan topik ini.

Dalam uji kaji ini, para pengkaji telah memakaikan beberapa kemeja dengan warna yang berbeza pada patung-patung mannequin yang berlainan.

Kemudian, mereka membiarkan patung-patung tersebut di bawah cahaya matahari pada hari yang tidak mencatatkan apa-apa pergerakan angin.

Setelah dibiarkan seketika, bacaan suhu bagi setiap patung akan diukur bagi menentukan warna apa yang lebih ‘sejuk’ ataupun ‘panas’.

Video berkenaan eksperimen tersebut boleh ditonton menerusi pautan di bawah:

Keputusannya tidak mengejutkan apabila warna putih mencatatkan suhu yang paling rendah sekali gus dinobatkan sebagai warna paling ‘sejuk’.

Selepas itu, ia diikuti dengan warna-warna cerah seperti kelabu dan kuning yang mencatatkan suhu mirip dengan keadaan sekeliling iaitu, 30 darjah Celcius.

Manakala, kemeja berwarna gelap dengan jelas tidak menunjukkan bacaan suhu yang diingini. Kemeja hitam dan hijau mencatatkan bacaan suhu melebihi 50 darjah Celcius dalam masa lima minit sahaja.

Bacaan suhu ini melebihi bacaan asal dengan perbezaan lebih daripada 20 darjah Celcius ketika eksperimen ini mula dijalankan.

Menariknya, eksperimen ini asalnya dijalankan adalah untuk melihat sama ada pemakaian topeng pelitup muka berwarna hitam dalam cuaca terik dapat meningkatkan risiko strok haba.

Kesimpulannya, kemeja berwarna cerah merupakan pilihan terbaik bagi sesiapa yang ingin berjalan kaki dalan keadaan cuaca panas.

BACA: Ini Warna Kereta Paling Rendah Peluang Nak Kemalangan

Sumber: Top Gear Philippine

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma