Polis Belanda Tahan ‘Boris Johnson’, Memandu Dalam Keadaan Mabuk
Polis Belanda dilaporkan telah menahan seorang lelaki yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk dan menggunakan lesen memandu atas nama Boris Johnson, lapor The Guardian.
Sewaktu ditahan, lesen memandu palsu warga Ukraine itu juga lengkap dengan gambar bekas Perdana Menteri Britain berserta tarikh lahirnya yang betul.
Lesen memandu itu dilaporkan telah dikeluarkan pada 2019 dan sah sehingga akhir tahun 3000.
Jurucakap polis, Thijs Damstra berkata, kejadian itu diketahui selepas siasatan polis berkenaan sebuah kemalangan yang merempuh tiang berhampiran Jambatan Emma di bandar utara Groningen.
Kereta yang dipandu lelaki tersebut telah ditinggalkan dan lelaki itu kemudiannya berdiri di atas jambatan lokasi kemalangan berkenaan.
“Lelaki itu tidak dapat mengenal pasti dirinya dan enggan menjalankan ujian pernafasan,” kata Damstra pada Isnin lalu.
Lelaki berusia 35 tahun dari bandar kecil Zuidhorn, barat Groningen itu kemudiannya ditahan dan keretanya juga digeledah.
Lesen memandu palsu ditemui dalam kereta
“Di dalam kereta, polis menemui lesen memandu palsu milik Boris Johnson,” kata Damstra lagi.
Polis Groningen berkata menerusi akaun Instagram mereka: “Malang untuk lelaki itu, kerana kami tidak mempercayai penipuannya.”
Damstra menambah: “Setahu saya, Boris Johnson yang sebenar tidak berada di Belanda pada masa ini.”
Sementara itu, polis tidak dapat mengenal pasti di mana dokumen palsu itu dibuat oleh lelaki berkenaan.
Namun menurut Kysia Hekster, bekas wartawan Rusia dalam ciapannya berkata, lesen memandu palsu boleh dibeli dengan mudah di kedai pelancong di Ukraine.
BACA: Dapat Tahu Isteri Ada “GF”, Lelaki Nekad Failkan Saman Terhadap Isteri
Terdahulu, selepas hampir tiga tahun memegang tampuk kuasa, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dilaporkan telah meletak jawatan secara rasmi pada 7 Julai lalu.
Memetik laporan CNBC, peletakan jawatan itu berlaku selepas tempoh 48 jam beliau menerima tekanan yang besar untuk berundur.
Boris ketika ditemui di luar Downing Street berkata dia sedih untuk melepaskan ‘pekerjaan terbaik di dunia’ itu tetapi mengakui bahawa tiada sesiapa yang diperlukan bagi tempoh yang lama dalam dunia politik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda di atas keistimewaan besar yang anda berikan kepada saya.
“Walaupun keadaan kadang-kadang kelihatan kelam tetapi masa depan kita bersama adalah emas,” katanya.
Sumber: The Guardian