Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hampir tiga tahun memegang tampuk kuasa, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dilaporkan telah meletak jawatan secara rasmi pada hari ini.
Memetik laporan CNBC, peletakan jawatan itu berlaku selepas tempoh 48 jam beliau menerima tekanan yang besar untuk berundur.
Boris ketika ditemui di luar Downing Street berkata dia sedih untuk melepaskan ‘pekerjaan terbaik di dunia’ itu tetapi mengakui bahawa tiada sesiapa yang diperlukan bagi tempoh yang lama dalam dunia politik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda di atas keistimewaan besar yang anda berikan kepada saya.
“Walaupun keadaan kadang-kadang kelihatan kelam tetapi masa depan kita bersama adalah emas,” katanya.
Sementara itu, pemimpin Parti Buruh Pembangkang, Keir Starmer adalah antara pihak yang menyeru Boris untuk berundur dengan mengatakan bahawa pemimpin itu tidak boleh bertahan selama berbulan-bulan.
“Jika parti Konservatif tidak menyingkirkannya, maka Buruh akan bertindak demi kepentingan negara dan membuat usul undi tidak percaya,” katanya menerusi Twitter.
‘Gelombang’ peletakan jawatan dalam parti Boris meningkat sejak Selasa lalu di mana hampir 60 orang telah melakukannya, dengan seorang demi seorang ahli Parti Konservatif secara terbuka menyuarakan ketidakyakinan mereka terhadap perdana menteri itu.
Terdahulu, Boris tetap berkeras untuk kekal di pejabatnya walaupun sudah cukup jelas bahawa beliau telah kekurangan sokongan dari dalam partinya sendiri. Beliau juga mendakwa bahawa mempunyai mandat besar untuk diteruskan.
Bagaimanapun, beliau terpaksa tunduk kepada tekanan politik yang semakin meningkat sehingga akhirnya mengumumkan untuk meletak jawatan pada hari ini.
Sumber: CNBC