Rasuah Pengadil: Barcelona ‘Intai’ Peluang Main Liga Juara-Juara Asia Sekiranya Kena “Banned” Main UEFA
Barcelona dilaporkan akan meneroka liga kejuaraan lain termasuk di Asia sekiranya kelab itu dikenakan larangan dari UEFA untuk bersaing di Liga Juara-Juara, lapor Daily Mail.
UEFA kini sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan bahawa kelab itu memberikan suapan kepada timbalan presiden jawatankuasa pengadil Sepanyol antara 2001 dan 2018.
Dianggarkan sebanyak 6.5 juta pound sterling (RM36.2 juta) telah dibayar oleh Barcelona kepada DASNIL dan NILSAT, dua syarikat yang dimiliki oleh Jose Maria Enriques Negreira.
Badan induk bola sepak Eropah itu dilaporkan telah memulakan siasatannya berhubung dakwaan campur tangan perlawanan berikutan pertuduhan yang dilakukan oleh pendakwa raya Sepanyol.
Pada masa ini, UEFA telah memberi jaminan kepada Blaugrana bahawa mereka akan dibenarkan untuk bersaing dalam pertandingan musim depan.
Namun begitu, menurut laporan program televisyen Catalan Onze, kelab itu telah mula bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan yang terburuk.
Malah kelab itu juga sedang melihat liga yang mungkin mereka sertai sekiranya laluan masuk ke pertandingan UEFA dihalang buat sementara waktu.
BACA: Barcelona Dituduh Rasuah Pengadil RM 40 Juta Dari 2001-2018
Liga Asia sedang dikaji dan dipantau
Antara liga yang dipantau dan dikaji dengan teliti adalah liga di Asia, termasuk Liga Juara-Juara Asia.
Presiden kelab Barcelona, Joan Laporta yang sedang berkhidmat untuk dua musim di kelab gergasi Catalan itu kini sedang berusaha untuk memastikan Barcelona masih mempunyai akses kepada pertandingan kelab paling berprestij di Eropah itu.
Minggu lalu, Laporta dilaporkan telah bertemu dengan ketua UEFA, Aleksandr Ceferin di Slovenia dalam usaha untuk menyelesaikan isu antara kedua-dua organisasi tersebut.
Peraturan Liga Juara-Juara badan induk itu, yang telah berkuat kuasa sejak 2007 telah membenarkan organisasi tersebut untuk mengharamkan kelab yang terlibat dalam skandal.
Pengharaman selama satu musim itu boleh dikenakan kepada mana-mana kelab jika didapati terlibat dalam penetapan perlawanan sewaktu kejuaraan liga dijalankan.
Barcelona telah menafikan sebarang salah laku atau konflik kepentingan dengan menyatakan bahawa mereka cuma bayar untuk laporan teknikal mengenai pengadil dan tidak pernah cuba untuk mempengaruhi keputusan permainan dalam perlawanan liga tersebut.
Walaupun pertemuan antara kedua-dua presiden itu dipercayai berjalan lancar, namun sehingga kini keputusan mengenai siasatan masih belum dikeluarkan.
UEFA juga dipercayai tidak akan membentangkan hasil siasatan mereka sehingga musim panas yang akan datang.
Sumber: Daily Mail