Siakap Keli
Barcelona rasuah pengadil
Kredit AFP

Barcelona Didakwa Rasuah Pengadil RM 40 Juta Dari 2001-2018

Barcelona Dituduh Rasuah Pengadil RM 40 Juta Dari 2001-2018

Barcelona didakwa terlibat dengan rasuah berhubung pembayaran yang dibuat oleh kelab itu kepada bekas Timbalan Presiden Jawatankuasa Pengadil Sepanyol.

Memetik Daily Mail, pasukan pendakwa raya Sepanyol menamakan Jose Maria Enriquez Negreira sebagai individu yang menerima rasuah daripada Barcelona. Sebagai syarat ‘pertukarang wang’, Negreira akan memastikan pengadil mengutamakan Barcelona dalam membuat keputusan.

Pihak pendakwaan berkata sebanyak 6.46 juta pound (RM35 juta) telah dibayar oleh Bercelona kepada DASNIL dan NILSAT, dua syarikat milik Negreira. Bayaran berkenaan dibuat dalam tempoh antara 2001 sehingga 2018.

Manakala Negreira menjawat jawatan dalam jawatankuasa pengadil Sepanyol diantara 1993 hingga 2018.

Sekiranya didapati bersalah, kelab gergasi La Liga itu bakal berdepan hukuman denda yang cukup besar. Selain itu, beberapa indvidu berprofil tinggi kelab berkenaan juga bakal berdepan dengan hukuman penjara sehingga empat tahun.

Selain Negreira, nama yang disebut adalah bekas Presiden Barcelona dalam tempoh berkenaan, Sandro Rossel dan Josep Bartomeu. Manakala Oscar Grau dan Albert Soler selaku bekas pengarah kelab juga bakal berdepan dengan hukuman yang sama.

Mahkamah ketika ini sedang memutuskan sama ada terdapat bukti yang mencukupi untuk membuat pendakwaan. Antara yang diteliti sama ada Negreira menggunakan wang yang dibayar oleh Barcelona untuk mempengaruhi keputusan pengadil.

Presiden semasa Barcelona, Joan Laporta dalam pada itu menolak semua dakwaan yang dikenakan kepada Barcelona.

“Barca tidak pernah membeli pengadil dan Barca tidak pernah berniat untuk membeli pengadil. Sama sekali tidak pernah.

BACA: Kedudukan Muhyiddin Dalam Parti Dibincang Petang Ini – BERSATU

“Kekuatan fakta bercanggah dengan mereka yang cuba mengubah cerita yang sebenarnya,” tegasnya.

Kontroversi mula melanda Barcelona apabila satu siasatan dijalankan terhadap firma milik Negreira pada bulan lepas. Dalam siasatan tersebut, pasukan penyiasat menemui bukti pembayaran yang dibuat oleh Barcelona. Bayaran itu dibuat dalam tempoh dua tahun sehingga 2018 untuk khidmat ‘nasihat teknikal berkenaan pengadil’.

Akhbar Sepanyol, El Mundo kemudian melaporkan bahawa bayaran dari Barcelona kepada syarikat Negreira bermula pada tahun 2001. Tempoh tersebut turut merangkumi era pertama Laporta menjawat jawatan sebagai presiden kelab.

Laporta kini dikatakan perlu memberi keterangan kepada penyiasat skandal tersebut.

Barcelona dalam pada itu telah mengeluarkan kenyataan berkenaan pertuduhan tersebut dan mengakui mendapatkan khidmat perunding  luar. Perkhidmatan tersebut bagi menyediakan laporan berkaitan dengan pengadilan profesional untuk melengkapkan maklumat yang diperlukan oleh kakitangan kejurulatihan.

Barcelona mendakwa, ia merupakan amalan biasa yang diamalkan dalam industri bola sepak dan kelab profesional. Kelab juga menafikan tuduhan yang dibuat.

Sumber: Daily Mail

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka