Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

40 Hari Tersesat, Ini Kisah Empat Beradik Berjuang Untuk Hidup Di Hutan Amazon

Aina Munirah
empat beradik hutan amazon
Kredit: BBC

40 Hari Tersesat, Ini Kisah Empat Beradik Berjuang Untuk Hidup Di Hutan Amazon

Hutan sememangnya sering dikaitkan sebagai kawasan yang berbahaya kerana persekitarannya yang tebal, luas dan sukar dijangka.

Walaupun menyimpan keindahan alam semula jadi yang memukau, hutan turut dihuni pelbagai haiwan liar, serangga berbisa serta mempunyai laluan yang boleh mengelirukan pengunjung.

Malangnya, hampir setiap tahun terdapat laporan mengenai pendaki yang sesat, mengalami kecederaan atau terperangkap akibat cuaca buruk ketika berada di kawasan hutan.

Walaupun berdepan pelbagai ancaman, terdapat juga kisah luar biasa mengenai mangsa yang berjaya bertahan dan diselamatkan selepas tersesat di dalam hutan.

Pesawat Yang Dinaiki Terhempas Di Hutan Amazon

Pada tahun 2023, dunia telah digemparkan dengan satu berita mengenai empat orang kanak-kanak yang dilaporkan ditemui masih selamat setelah berada dalam hutan Amazon selama 40 hari.

Kisah itu bermula apabila sebuah pesawat ringan yang membawa empat beradik bersama ibu mereka dan dua lagi individu terhempas di tengah hutan Amazon.

Empat beradik itu ialah Lesly, Soleiny, Tien Noriel dan Cristin, yang masing-masing berusia 13 tahun, sembilan tahun, empat tahun dan 11 bulan ketika kejadian.

Keluarga tersebut dalam perjalanan dari Araracuara menuju San José del Guaviare. Mereka dilaporkan mahu memulakan kehidupan baharu selepas berdepan ancaman kumpulan bersenjata di kawasan tempat tinggal mereka.

Kredit: Dinsey

Namun, pesawat itu tidak pernah tiba di destinasi selepas mengalami masalah enjin sebelum terhempas ke kawasan hutan tebal.

Bahagian belakang pesawat yang menempatkan kanak-kanak itu hampir tidak mengalami kerosakan.

Manakala, juruterbang dan seorang lagi penumpang dewasa dilaporkan meninggal dunia ketika nahas tersebut.

Apa yang lebih memilukan, walaupun empat beradik itu terselamat, ibu mereka hanya sempat bertahan selama kira-kira empat hari sebelum meninggal dunia akibat kecederaan.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, ibu mereka dikatakan meminta Lesly membawa adik-adiknya meninggalkan lokasi itu untuk mendapatkan bantuan.

Makan biji-bijian, akar & tumbuhan untuk bertahan hidup

Selepas berita penemuan empat beradik ini tersebar, antara soalan yang sering ditanya adalah bagaimana mereka boleh bertahan dalam tempoh yang panjang.

Rupa-rupanya, keempat-empat mereka dikatakan bertahan hidup dengan makan biji-bijian, akar serta tumbuhan yang mereka kenal pasti boleh dimakan.

Kredit: Netflix

Malah, datuk saudara mereka, Fidencio Valencia, pernah memberitahu bahawa mereka juga memakan sejenis tepung dipanggil fariña yang kebetulan dibawa oleh pesawat tersebut.

Menurut Fidencio, kanak-kanak itu dipercayai berlindung di dalam batang pokok bagi melindungi diri daripada ancaman haiwan liar.

Fidencio berkata strategi ini mungkin turut menyebabkan pasukan penyelamat mengambil masa lama untuk menemui mereka disebabkan mereka takut dengan keadaan di luar, dengan bunyi anjing menyalak.

Walaupun pengetahuan Lesly tentang hutan membantu mereka bertahan, keempat-empat kanak-kanak itu masih berada dalam keadaan sangat lemah ketika ditemui pada 9 Jun 2023, kira-kira tiga batu dari lokasi nahas.

Ketua operasi pencarian waktu itu, Jeneral Pedro Sánchez memberitahu mereka berada dalam keadaan yang sangat lemah dan hanya cukup kuat untuk bernafas atau mencapai buah kecil untuk makan dan minum beberapa titis air di dalam hutan.

Selepas dirawat di hospital di Bogotá selama 34 hari, kanak-kanak itu dibenarkan keluar dan kemudian diletakkan di bawah jagaan Institut Kebajikan Keluarga Colombia (ICBF).

Mangsa ditemui dengan beg kecil

Seorang lelaki Orang Asli, Henry Guerrero yang turut serta dalam kumpulan pencarian, memberitahu bahawa kanak-kanak itu ditemui bersama dua beg kecil yang mengandungi beberapa pakaian, sehelai tuala, lampu suluh, dua telefon bimbit, sebuah kotak muzik dan sebotol minuman.

Kredit: BBC

Beliau berkata mereka menggunakan botol itu untuk mengumpul air di dalam hutan, dan menambah bahawa selepas diselamatkan, kanak-kanak tersebut mengadu kelaparan.

“Mereka mahu makan bubur nasi, mereka mahu makan roti,” katanya.

Kredit: Jabatan Udara Colombia

Selain itu, pasukan penyelamat turut menyiarkan rakaman suara nenek mereka, Fátima Valencia, dalam bahasa masyarakat Orang Asli berkenaan menerusi pembesar suara dari sebuah helikopter.

Mesej itu meminta kanak-kanak tersebut supaya tidak terus bergerak dan meyakinkan mereka bahawa pasukan pencari sedang berusaha menyelamatkan mereka.

Selain kejutan dan trauma akibat nahas serta kematian ibu mereka, kanak-kanak itu mungkin juga mempunyai sebab untuk takut terhadap pakaian seragam pasukan pencari.

Keadaan empat beradik setakat Jun 2024

Setakat kemas kini pada Jun 2024, Lesly, Soleiny, Tien dan Cristin masih berada di bawah jagaan serta perlindungan kerajaan Colombia.

ICBF telah memuat naik kemas kini mengenai adik-beradik Mucutuy pada Jun 2024, setahun selepas mereka ditemui, dengan menyatakan bahawa mereka sedang menghabiskan hari-hari mereka dengan menikmati kehidupan dan belajar.

Kredit: Disney

Kanak-kanak itu dilaporkan telah pulih daripada masalah kesihatan fizikal yang dialami ketika di dalam hutan dan sedang menjalani rawatan bersama ahli psikologi untuk menangani trauma emosi akibat pengalaman tersebut.

Keempat-empat beradik itu juga tidak pernah dipisahkan sejak diselamatkan dan terus saling memberikan sokongan.

“Mereka meneruskan pelajaran dan menikmati kehidupan yang sepatutnya dinikmati oleh kanak-kanak pada usia mereka,” kata ICBF.