Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ini 11 Saintis AS Yang Dilaporkan Hilang & Meninggal Dunia
Hampir setiap tahun berita mengenai kehilangan individu dilaporkan oleh media, bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia. Tidak terkecuali di Amerika Syarikat.
Baru-baru ini, berita kehilangan dan kematian beberapa orang saintis di negara tersebut kembali mencuri tumpuan.
Orang ramai kembali mempersoalkan mengenai kematian seorang saintis yang berpakalan di Alabama, Amy Eskridge. Walaupun beliau meninggal dunia pada tahun 2022, terdapat dakwaan terbaru yang mengatakan bahawa kematiannya itu mencurigakan.
Ia juga telah dikaitkan dengan 10 lagi kes lain yang melibatkan individu penting dalam penyelidikan, ketenteraan, nuklear dan aeroangkasa Amerika Syarikat.
Presiden Donald Trump juga berkata telah membincangkan mengenai perkara tersebut di Rumah Putih pada Jumaat. Beliau menjangkakan akan mendapat jawapan yang jelas mengenai kes-kes tersebut tidak lama lagi.
Menurut Fox News, perkara ini mendapat perhatian kerana para saintis dan pekerja terbabit dianggap mempunyai akses kepada maklumat sulit berkaitan nuklear dan angkasa lepas. Namun pihak penguat kuasa undang-undang dan saintis lain menyatakan mereka tidak melihat sebarang kaitan antara kes-kes tersebut.
Selain Amy, berikut senarai saintis yang hilang dan meninggal dunia yang dikaitkan dengan kes yang mencurigakan itu:

Beliau merupakan seorang Mejar Jeneral Tentera Udara yang telah bersara dan pernah memegang jawatan kanan di Pentagon serta dalam penyelidikan dan pemerolehan angkasa.
McCasland dilaporkan hilang pada 27 Februari lalu dan beliau tidak dapat dijejak sehingga ke hari ini.
Menurut Pejabat Sheriff Daerah Bernalillo, barang miliknya seperti telefon, cermin mata preskripsi dan peranti boleh pakai ditemui di rumah. Namun, kasut mendaki, dompet dan sepucuk pistol revolver dilaporkan hilang.
Nama McCasland muncul dalam e-mel WikiLeaks 2016 yang mendedahkan mesej daripada pengerusi kempen Hillary Clinton, John Podesta.
Dalam mesej tersebut, dikatakan bahawa McCasland mengendalikan fenomena udara yang tidak dikenali (UAP), dengan menyatakan bahawa jeneral itu sebelum ini pernah mengetuai Makmal Penyelidikan Tentera Udara di Pangkalan Tentera Udara Wright-Patterson.
Makmal tersebut merupakan sebuah kemudahan yang telah lama dikaitkan oleh ahli teori konspirasi UFO dengan nahas Roswell 1947.
Jurutera aeroangkasa yang berusia 60 tahun itu dilaporkan hilang pada 22 Jun 2025 ketika mendaki bersama seorang rakan di Angeles National Forest di laluan yang sering digunakan.
Menurut Pejabat Polis Los Angeles, kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi.
Rakannya berada kira-kira 30 kaki di hadapan dan memberitahu polis bahawa beliau sempat berpaling untuk melihat keadaan Reza, yang ketika itu tersenyum dan melambai, menandakan semuanya baik.
Rakan tersebut kemudian berpaling semula untuk meneruskan pendakian dan apabila dia menoleh sekali lagi beberapa saat kemudian, Reza sudah hilang. Sejak itu, Reza tidak pernah dilihat atau didengar lagi.
Beliau merupakan Pengarah Pemprosesan Bahan di Makmal Pendorongan Jet (JPL) NASA ketika kejadian itu berlaku.
Merupakan seorang kontraktor kerajaan, Steven Garcia, 48, kali terakhir dilihat meninggalkan rumahnya di Albuquerque pada 28 Ogos 2025.
Garcia dilaporkan mempunyai kaitan dengan Kansas City National Security Campus yang menghasilkan sebahagian besar komponen bukan nuklear yang digunakan senjata nuklear AS.
Rakaman kamera pengawasan menunjukkan beliau berjalan kaki sambil membawa sepucuk pistol. Menurut polis Albuquerque, beliau meninggalkan telefon, dompet, kunci dan keretanya dan tidak pernah dilihat sejak itu.
Beliau yang dikatakan terkenal dengan kajian mengenai eksoplanet dan penemuan air di dunia yang jauh merupakan seorang ahli astrofizik di California Institute of Technology.
Grillmair juga telah menghabiskan beberapa dekad bekerja dalam misi utama yang disokong oleh NASA, termasuk teleskop angkasa lepas Hubble dan Spitzer. Beliau juga menyumbang kepada penyelidikan mengenai struktur galaksi, jirim gelap dan pencarian planet yang boleh didiami.
Lelaki yang berusia 67 tahun itu ditembak mati di luar rumahnya di California pada 16 Februari 2026.
Selepas insiden itu, seorang suspek yang berusia 29 tahun ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pembunuhan tersebut.
Penyiasat berkata suspek pernah dilaporkan menceroboh kediaman Grillmair dalam beberapa minggu sebelum kejadian tembakan.
Ahli fizik Institut Teknologi Massachusetts, Nuno Loureiro telah ditembak mati di rumahnya di Brookline, Massachusetts pada Disember 2025.
Loureiro, 47, yang juga pengarah Pusat Sains Plasma dan Gabungan universiti tersebut merupakan tokoh terkemuka dalam penyelidikan tenaga pelakuran, mengkaji fizik plasma dan mengusahakan teknologi yang bertujuan untuk memanfaatkan tenaga bersih yang hampir tidak terbatas.
Pihak berkuasa kmengaitkan pembunuhan tersebut dengan seorang suspek yang terlibat dalam insiden tembakan beramai-ramai di Brown University beberapa hari sebelumnya.
Kes pembunuhan itu ditutup selepas suspek meninggal dunia tidak lama selepas serangan yang dilakukannya.
Bagaimanapun, pegawai penyiasat mengatakan bahawa kematian Loureiro tidak mempunyai kaitan dengan penyelidikannya.

Jurutera lama di NASA Jet Propulsion Laboratory, Frank Maiwald dilaporkan meninggal dunia di Los Angeles pada 4 Julai 2024.
Laporan mendapati tiada bedah siasat dilakukan dan sebab utama kematian tidak didedahkan secara umum.
Beliau dikatakan telah berkhidmat selama beberapa dekad di JPL sebagai seorang individu yang banyak menumpukan pembangunan instrumen yang boleh mengesan tanda kimia seperti air, molekul organik dan juga benda asing yang mungkin digunakan oleh saintis untuk menilai sama ada persekitaran di luar Bumi boleh dihuni atau tidak.

Melissa Casias, 53, dilaporkan terakhir kali dilihat berjalan seorang diri di tepi jalan di Taos County, New Mexico. Beliau yang merupakan pekerja pentadbiran dengan pelepasan keselamatan di Los Alamos National Laboratory itu dilaporkan hilang pada 26 Jun 2025.
Ahli keluarganya memaklumkan bahawa Casias sempat berjumpa dengan anak perempuannya untuk menghantar sandwich.
Apabila ahli keluarga pulang ke rumah, mereka mendapati beg tangan, kunci serta kedua-dua telefon peribadi dan telefon kerja miliknya berada di dalam kereta.
Telefon-telefon tersebut telah ditetapkan semula ke tetapan kilang, sekali gus memadam data dan komunikasi terkini.
Bagaimanapun, ahli keluarga menolak sekeras-kerasnya dakwaan beliau meninggalkan rumah secara sukarela dan menyatakan bahawa beliau sedang membuat persediaan untuk menjaga ibu mereka yang akan menjalani pembedahan.
Pesara yang berusia 78 tahun, Anthony Chaves, dilaporkan pernah bekerja di Los Alamos National Laboratory sebelum bersara pada 2017.
Beliau dilaporkan kali terakhir dilihat sekitar 4 Mei 2025 di rumahnya di Los Alamos, New Mexico.
Setelah pihak polis memeriksa rumahnya, mereka mendapati sebuah dompet, kunci dan barangan peribadi lain masih berada di dalam rumah.
Selain itu, keretanya pula masih berada dalam keadaan berkunci di laluan masuk rumah dan tiada tanda pencerobohan atau pergelutan, menurut Los Alamos Reporter.
Pengarah bersekutu dalam bidang biologi kimia di syarikat farmaseutikal Novartis, Jason Thomas, dilaporkan hilang pada Disember 2025.
Laporan kehilangannya lelaki berusia 45 tahun dibuat selepas beliau dikatakan meninggalkan rumahnya di Wakefield, Massachusetts pada lewat malam. Telefon dan dompetnya didapati ditinggalkan di rumah.
Rakaman kamera pengawasan menunjukkan beliau berjalan berhampiran landasan kereta api sejurus selepas tengah malam.
Pada 17 Mac 2026, mayatnya ditemui di Lake Quannapowitt selepas ais mencair. Pegawai menyatakan tiada unsur jenayah dalam kes itu, namun punca dan cara kematian tidak didedahkan secara umum.

Michael David Hicks merupakan seorang penyelidik di Nasa Jet Propulsion Laboratory dari tahun 1998 hingga 2022.
Beliau terlibat dalam program angkasa Double Asteroid Redirection Test (DART), yang memberi tumpuan kepada kajian sifat fizikal asteroid dan komet, serta mengkaji sama ada objek tersebut boleh dialihkan di angkasa lepas.
Hicks dilaporkan meninggal dunia pada 30 Julai 2023 pada usia 59 tahun. Namun, punca kematiannya tidak didedahkan.
Dalam pada itu, seorang ahli fizik dan profesor di Universiti Harvard, Avi Loeb, berkata dia tidak percaya kes-kes ini saling berkaitan kerana setiap individu mempunyai kepakaran yang berbeza.
“Persamaan antara para saintis yang terlibat tidak begitu ketara. Bagaimanapun, sudah tentu setiap kes ini merupakan satu misteri yang perlu diselesaikan.
"Ada kemungkinan terdapat seseorang yang berniat mencederakan individu-individu tersebut," katanya.