Siakap Keli
kerani pembantu rumah indonesia seterika
Kredit: Bernama

Kerani Didakwa Cederakan Pembantu Rumah Warga Indonesia Guna Seterika, Air Panas

Kerani Didakwa Cederakan Pembantu Rumah Warga Indonesia Guna Seterika, Air Panas

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) — Seorang kerani wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pembantu rumah warga Indonesia menggunakan seterika dan air panas, sejak Mac tahun lepas.

Tertuduh, 43, yang bekerja sebagai kerani di sebuah agensi pekerjaan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pembantu rumahnya di sebuah rumah di Jalan Hujan Emas 3, Taman OUG, di sini, antara 3 Mac 2022 dan 23 April lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun peguam Varghese Onny yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai empat orang anak berusia 2 hingga 15 tahun.

Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh dan suaminya, 44, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan eksploitasi pengabdian terhadap mangsa sama, pada tarikh dan tempat serupa.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah tidak menawarkan jaminan bagaimanapun Varghese memohon pasangan suami isteri itu diberikan jaminan atas alasan mereka telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan.

Hakim Azura Alwi membenarkan pasangan itu, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri ke balai polis setiap dua bulan sekali.

Mahkamah juga menetapkan 6 Jun untuk sebutan semula kes.

Semalam, media melaporkan seorang pembantu rumah lebam di mata dan muka, serta melecur hampir seluruh badan akibat didera oleh majikannya selain sering dipukul, ditampar dan pernah dicederakan oleh suspek sama di bahagian tangan dengan menggunakan seterika.

BACA: Pelakon Terkenal, Ridzuan Hashim Meninggal Dunia

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma