Siakap Keli
Labi-labi air tawar
Kredit AFP

Spesis Labi-Labi Air Tawar Terbesar Diambang Kepupusan

Spesis Labi-Labi Air Tawar Terbesar Diambang Kepupusan

Labi-labi gergasi spesis Yangtze (Rafetus swinhoei) yang merupakan spesies paling terancam di Bumi kini dilaporkan diancam kepupusan.

Ia berikutan selepas betina terakhir daripada spesis tersebut yang diketahui wujud telah ditemui mati di Vietnam.

Memetik LiveScience, labi-labi gergasi yang sepanjang 5 kaki dan seberat 93 kilogram ditemui mati pada 21 April lalu di tepi Tasik Dong Mo di Hanoi.

Labi-labi itu dilaporkan bahawa ia mungkin telah mati beberapa hari lebih awal dan punca kematiannya sehingga kini masih belum diketahui, lapor VNExpress.

Labi-labi betina gergasi cengkerang lembut Yangtze telah ditemui pada Oktober 2020. Pada masa itu, tiada labi-labi spesies sama yang diketahui wujud di atas muka bumi ini.

Sebelum ini, Zoo Suzhoi di China pada April 2019 pernah melakukan cubaan untuk membiak semula spesies terancam tersebut dan cubaan tersebut akhirnya telah gagal.

Apabila labi-labi itu ditemui mati bulan lalu, ahli pemuliharaan berharap dia adalah betina lain yang tidak dikenali dan bukannya betina yang pernah direkodkan.

Tetapi pakar mengesahkan bahawa ia merupakan betina sama yang sedang dipantau oleh mereka.

Kredit WCS Vietnam

“Ia adalah betina sama yang kami pantau sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Tim McCormack, pengarah Program Penyu Asia untuk pemuliharaan Indo-Myanmar.

Kini hanya tinggal dua ekor jantan spesies yang sama diketahui masih hidup. Seekor di Zoo Suzhou dan seekor lagi tinggal di Tasik Dong Mo.

Penyelidik berharap bahawa betina dan jantan yang berada di Tasik Dong Mo akan mengawan dan menghasilkan telur.

Betina yang mati mungkin berumur puluhan tahun

Berdasarkan saiznya, betina itu mungkin berumur beberapa dekad yang bermakna ia mungkin sudah matang secara seksual.

“Ia adalah betina yang jelas mempunyai kapasiti pembiakan yang hebat. Dia berpotensi bertelur seratus atau lebih dalam setahun,” kata McCormack.

Bagaimanapun, pasangan dua labi-labi gergasi itu tidak pernah mengawan, meskipun penyelidik telah membina pantai bersarang buatan di tasik itu.

Labi-labi gergasi Yangtze yang juga dikenali sebagai Swinhoe pernah mendiami Sungai Yangtze di China dan ekosistem air tawar di sekitarnya termasuk Tasik Dong Mo.

Walau bagaimanapun, aktiviti manusia yang memburu haiwan itu untuk daging mereka telah menyebabkan sebahagian besar habitat semula jadinya musnah.

Terdapat kemungkinan bahawa jantan dan betina lain mungkin akan ditemui pada masa hadapan. Betina yang mati ini berjaya mengelak dari dikesan selama bertahun-tahun.

Jika betina lain tidak ditemui, maka ia mungkin akan menjadi pengakhiran bagi kewujudan spesies labi-labi gergasi Swinhoe di muka bumi ini.

Sumber: LiveScience

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka