Siakap Keli
masjid cetakan 3d dunia
Kredit: IACAD

Dubai Bakal Bina Masjid Cetakan 3D Pertama Di Dunia

Dubai Bakal Bina Masjid Cetakan 3D Pertama Di Dunia

Dubai bakal membuka masjid baharu yang dibina menggunakan mesin cetakan 3D, umum Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Amal (IACAD) Januari lepas.

Difahamkan, projek tersebut selari dengan visi dan hala tuju Timbalan Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Dirancang dibina di Bur Dubai, pembinaan masjid yang berkeluasan 2,000 meter kaki itu bakal bermula sekitar Oktober ini. Pembinaan masjid yang mampu memuatkan kira-kira 600 jemaah itu dijangka siap pada 2025.

Pembinaan rangka utama masjid yang dibina dengan menggunakan teknologi cetakan 3D dijangka memakan masa empat bulan untuk siap.

Kemudian, masjid tersebut akan mengambil masa tambahan dalam 12 bulan untuk dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan di dalamnya, kata IACAD.

Uniknya, pembinaan masjid ini hanya memerlukan tiga orang pekerja yang bertindak sebagai operator mesin pencetak robotik 3D. Mesin itu mampu mencetak bahan struktur berkeluasan 2 meter persegi setiap jam.

Pengarah IACAD, Ali Al Suwaidi berkata, struktur yang dibina menggunakan campuran bahan mentah dengan campuran konkrit istimewa.

Proses ini memperlihatkan lapisan bahan cecair yang mengandungi mineral dibentuk di sepanjang laluan yang dipetakan oleh komputer. Cecair tersebut akan mengeras menjadi bentuk konkrit dalam masa yang singkat, menukarkan hasil digital kepada bentuk 3D.

Kos pembinaan masjid ini lebih tinggi berbanding dengan masjid biasa

“Kos pembinaannya adalah 30 peratus lebih tinggi berbanding cara normal kerana ini merupakan kali pertama dilakukan di dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, kos pembinaan tersebut dijangka menurun dan setara dengan kos yang dibelanjakan dalam pembinaan melalui kaedah biasa pada masa hadapan. Masjid cetakan 3D itu juga hadir dengan jaminan selama 30 tahun.

Dalam pada itu, masjid tersebut merupakan sebahagian daripada Strategi Cetakan 3D Dubai.

Tujuan pelan tersebut adalah untuk menggunakan teknologi ke arah kebajikan manusia sekali gus meletakkan bandar itu sebagai peneraju industri global menjelang 2030.

“Membina masjid cetakan 3D pertama merupakan satu projek terkemuka di dunia yang menggunakan kaedah ini. Hasil kerja ini merupakan asas daripada visi Sheikh Mohammed,” Kata ketua pengarah IACAD, Hamad Al Shaibani.

BACA: Pelakon Terkenal, Ridzuan Hashim Meninggal Dunia

Sumber: Arabian Business

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma