Siakap Keli
empangan air itam
Kredit: Bernama

Cuaca Panas: Empangan Air Itam Hanya Mampu Bertahan Hingga Akhir Jun

Cuaca Panas: Empangan Air Itam Hanya Mampu Bertahan Hingga Akhir Jun

GEORGE TOWN, 9 Mei (Bernama) — Kapasiti efektif Empangan Air Itam akan berada dalam keadaan kritikal sekiranya kawasan tadahan masih tidak menerima hujan dalam tempoh 40 hari.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata kapasiti efektif empangan berkenaan menurun kepada 41 peratus dan hanya mampu bertahan hingga akhir Jun susulan cuaca panas yang berpanjangan.

Beliau menggesa penduduk negeri itu mengurangkan penggunaan dan menjimatkan air memandangkan penggunaan air yang tinggi mengurangkan kapasiti empangan.

“Peratusan penyusutan Empangan Air Itam lebih tinggi kerana ia empangan kecil dengan kapasiti maksimum 2,160 juta liter. Empangan berkenaan membekalkan air kepada kira-kira 30,000 pengguna di Air Itam dan Paya Terubong,” katanya pada sidang media bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K. Pathmanathan di sini hari ini.

Menurut Zairil, Empangan Teluk Bahang pula yang membekalkan air kepada kira-kira 500,000 pengguna hanya mampu bertahan hingga 146 hari lagi melainkan hujan turun di kawasan tadahan empangan terbabit.

Zairil berkata penggunaan air domestik yang tinggi adalah faktor utama kepada penyusutan empangan di Pulau Pinang manakala faktor lain disebabkan kekurangan hujan di kawasan tadahan.

“Pulau Pinang berada dalam senarai teratas penggunaan air tertinggi di negara ini dengan sebanyak 286 liter perkapita sehari (LCD), jadi kita berharap semua penduduk di negeri ini supaya mengurangkan penggunaan air bagi membantu mengekalkan rizab air mentah empangan selama mungkin,” katanya.

Beliau berkata meskipun negeri itu mencatat lebih banyak hujan pada hujung April lepas berbanding tahun lepas, hujan tidak berlaku di kawasan tadahan air.

Sementara itu, Pathmanathan berkata PBAPP komited untuk mempertahankan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Teluk Bahang serta akan mengesyorkan operasi pembenihan awan gelombang kedua bagi mencetuskan hujan di kawasan tadahan kedua-dua empangan.

BACA: Eh, Ingat Sensor? Rupanya Ini Fungsi Sebenar ‘Petak Empat Segi’ Pada Bumper Kereta

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma