Siakap Keli
Budak perempuan melecur
Kredit Astro Awani

Budak Perempuan Melecur Mangsa Mercun Meninggal Dunia

Budak Perempuan Melecur Mangsa Mercun Meninggal Dunia

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang disambar api sehingga melecur ketika bermain bunga api dan mercun pada 12 April lalu di Kampung Senara, Kubur Panjnag dilaporkan telah meninggal dunia, Jumaat lalu.

Memetik Sinar Harian, berita itu telah disampaikan oleh ibu kanak-kanak terbabit iaitu Siti Aisyah Hassan 33 tahun.

Menurut ibunya, anaknya Nur Zatil Hidayah Mohd Tarmizi meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira jam 7 malam.

Tambahnya, akibat kejadian malang itu, anak ketiga daripada empat beradik tersebut  telah menerima rawatan selama 26 hari di hospital berkenaan.

“Saya agak terkilan kerana anak tidak sempat memakai baju raya yang dia teringin sangat nak pakai.

“Kelengkapan raya semua dah siap, kasut raya, beg raya tapi dia tak sempat pakai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

Reda dengan ketentuan Allah SWT

Menurutnya, walaupun sedih dengan kehilangan anak perempuan tunggalnya itu namun mereka sekeluarga juga reda dengan ketentuan Allah SWT.

Sementara itu, Siti Aisyah berkata bahawa anaknya menghembuskan nafas terakhir apabila tahap kesihatan kembali merosot selepas mulai sedar dua hari sebelum itu.

“Pada petang Jumaat semasa berada di wad biasa dia mula tidak sedarkan diri dan doktor cuba sedaya-upaya memberi rawatan kepadanya.

“Kira-kira jam 7 malam doktor panggil waris untuk berjumpa. Kami dimaklumkan Nur Zatil Hidayah sudah meninggal dunia kerana serangan kuman pada organ dalamannya,” katanya.

Sebaik sahaja selesai proses bedah siasat di HSB, jenazah Nur Zatil Hidayah kemudiannya dikebumikan Sabtu lalu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Senara.

Berita kejadian malang itu pernah pernah dilaporkan Sinar Harian pada 14 April yang lalu di mana mangsa melecur kira-kira 46 peratus pada anggota badannya.

Ia dipercayai berlaku selepas disambar api ketika bermain bunga api dan mercun bersama dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun di hadapan rumah mereka.

Ketika kejadian, ibu bapa kanak-kanak itu dikatakan berada dalam rumah dan berlari keluar sejurus mendengar jeritan mangsa.

Ketika ditemui, ibu bapa mangsa mendapati dua anak lelaki mereka sedang cuba bertindak untuk memadam api yang membakar tubuh mangsa.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka