Siakap Keli
pemilik syarikat tuntutan palsu
Kredit: Bernama

Pemilik Syarikat Bergelar Datuk, Adik Bebas Tuduhan Tuntutan Palsu Lebih RM1.5 Juta

Pemilik Syarikat Bergelar Datuk, Adik Bebas Tuduhan Tuntutan Palsu Lebih RM1.5 Juta

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) — Dua beradik pemilik syarikat pembungkusan minyak masak subsidi hari ini dibebaskan sepenuhnya daripada 52 pertuduhan berhubung tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat peruncit berjumlah lebih RM1.5 juta.

Sebelum ini Datuk Mohd Farid Mohamad Ali, 44, dan adiknya Mohd Fadhil, 40, dilepas tanpa dibebaskan atas kesemua pertuduhan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin hari ini membebaskan dua beradik itu selepas pihak pendakwaan tidak membantah permohonan mereka supaya dilepas dan dibebaskan.

“Mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua pemohon. Oleh itu, kedua-dua pemohon dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” kata hakim.

Terdahulu, peguam Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos mewakili adik-beradik itu berkata pihaknya memohon agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi berkata memandangkan kedua-dua pemohon telah menjelaskan kompaun dan setelah meneliti segala dokumen daripada pemohon, pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan tersebut.

Pada 20 Jun 2022, Mahkamah Sesyen di sini melepas tanpa membebaskan kedua-dua lelaki itu daripada kesemua pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan memohon supaya mereka dilepas tanpa dibebaskan setelah mereka membayar kompaun.

Mohd Farid dan adiknya kemudian membuat permohonan di Mahkamah Tinggi supaya mereka dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-52, Mohd Farid didakwa telah memberikan suatu dokumen iaitu Penyata Tuntutan Bayaran Bantuan Kewangan Kepada Kilang Penapis/Pembungkus Minyak Masak Sawit Tulen yang mengandungi butiran palsu bagi tempoh antara Januari 2019 hingga Mac 2020 berjumlah keseluruhan RM1,596,341.40 kepada tiga kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Tuntutan tersebut mengandungi butiran matan palsu iaitu maklumat penjualan minyak masak kepada syarikat peruncit yang tertuduh tahu bahawa penjualan minyak masak itu sebenarnya tidak dibuat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat bahagian Subsidi dan Bekalan, Cawangan Analisa Perakaunan Industri, Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, KPDNHEP, Putrajaya, antara Januari 2019 hingga Mac 2020.

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap, dan jika butir matan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Fadhil pula didakwa atas 52 pertuduhan bersubahat dengan Mohd Farid untuk melakukan kesalahan sama, di tempat dan masa serupa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama yang membawa hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Farid menerusi kenyataan media berkata beliau berterima kasih kepada keluarga dan sahabatnya yang menyokong serta memberi semangat untuk menempuh waktu yang sangat mencabar.

“Episod ini mengajar saya untuk menjadi insan yang lebih istiqamah dan sememangnya apa yang lebih penting adalah kerja-kerja kebajikan untuk kebaikan ummah secara amnya,” katanya.

BACA: Rupanya Ini Sebab Serangga Mudah Tertarik Dengan Cahaya Lampu

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma