Siakap Keli
Bela jual beli ular islam
Kredit: AFP

Boleh Ke Bela & Jual Ular, Apa Hukumnya? Ini Kata Mufti WP

Boleh Ke Bela & Jual Ular, Apa Hukumnya? Ini Kata Mufti WP

Secara umumnya, ular merupakan sejenis haiwan reptilia yang sering ditemui dalam habitat liar.

Ada di antaranya berbisa, sama ada melumpuhkan anggota badan (neurotoksik) mahupun menghalang pembekuan darah (hemotoksik).

Selain itu, terdapat lagi dua jenis ular iaitu proteolitik (menyebabkan kemerosotan struktur tisu) serta sititoksik (membunuh sel).

Bukan itu sahaja, ada spesies yang tidak berbisa tetapi menggunakan saiz badan yang besar untuk membelit mangsanya sehingga mati.

Oleh sebab itu, jelaslah bahawa ular merupakan haiwan yang mampu mengancam keselamatan dan memberi mudarat kepada manusia.

Namun hari ini, ada yang menjadikan ular sebagai haiwan peliharaan. Persoalannya, apa pula hukum jika umat Islam membela ular sebagai haiwan peliharaan? Seterusnya, bagaimana hukum bagi umat Islam yang terlibat dalam urusan jual beli ular untuk tujuan ini?

Bagi menjawab persoalan ini, seorang individu telah mengirimkan soalan kepada pihak Mufti Wilayah Persekutuan bagi menjawab isu ini.

Jom kita ikuti kupasan berkenaan di bawah.

Soalan: 

“Assalammualaikum, adakah dibolehkan untuk menjadikan ular sebagai haiwan peliharaan dan apakah hukum berjual beli ular? Mohon pencerahan SS Mufti, terima kasih.”

Ringkasan Jawapan:

Hukum memelihara ular adalah haram dan dilarang melaksanakan transaksi jual beli ular. Hal ini kerana ular termasuk dalam kelompok haiwan pengganggu (fawasiq) dan tiada manfaat untuk diperdagangkan. Setiap barangan jualan yang tiada nilai manfaat adalah tidak sah transaksinya kerana tidak menepati syarat jual beli.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga Baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat

Ular antara haiwan yang berbahaya dan memberi mudarat kepada manusia. Terdapat beberapa riwayat hadis yang menunjukkan bahawa Baginda SAW memerintahkan agar ular dibunuh sama ada dalam keadaan berihram atau tidak ihram. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ مُحْرِمًا بِقَتْلِ حَيَّةٍ بِمِنًى

Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan orang yang sedang berihram untuk membunuh ular di Mina”

Riwayat Muslim (2235)

Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan bahawa seseorang yang sedang berihram diharuskan untuk membunuh ular. Sepertimana yang diketahui orang dalam keadaan ihram dilarang untuk membunuh binatang, namun syarak memberi pengecualian terhadap binatang-binatang pengganggu, bahkan hukumnya sunat dibunuh untuk menghindari kemudaratan. ( Lihat : Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/ 234)

Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda :

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْحُدَيَّا

Maksudnya : “ Lima binatang fawasiq yang boleh dibunuh di tanah halal dan haram (atau dalam keadaan berihram) iaitu ular, burung gagak hitam bercampur putih, tikus, anjing gila, burung helang

Riwayat Muslim 1198, Riwayat Bukhari 3314

Perkataan fawasiq yang dinyatakan di dalam hadis memberi makna binatang-binatang pengganggu dan perosak. Berpandukan hadis ini juga, majoriti ulama bersepakat bahawa harus membunuh binatang-binatang tersebut sama ada di tanah haram (Mekah dan Madinah) dan juga di luar tanah haram. ( Lihat : Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 8/ 113-114).

Berdasarkan dalil yang dibentangkan, ular termasuk dalam lima kelompok haiwan penggangu (fawasiq) yang dianjurkan untuk dibunuh. Hal ini kerana haiwan tersebut memudaratkan dan berbahaya kepada manusia.

Fuqaha telah membahaskan hukum memelihara dan berjual beli kelompok haiwan penganggu (fawasiq) seperti berikut :

Hukum Memelihara Ular

Ibn Hajar al-Haitami menyatakan haram mengurung lima binatang pengganggu dan perosak di dalam kandang untuk tujuan pemeliharaan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh Minhaj 9/337)

Menurut Imam al-Zarkasyi, seseorang yang mukalaf diharamkan memelihara beberapa jenis binatang, antaranya anjing yang tidak dibenarkan oleh syarak dan juga binatang perosak yang lain seperti helang, tikus, burung gagak dan ular. (Lihat : al-Mantsur fi al-Qawaid, 3/80).

Hukum Jual Beli Ular

Imam al-Nawawi menyatakan tidak sah jual beli haiwan yang tidak mendatangkan manfaat seperti kumbang, kala jengking, ular, tikus semut dan seumpamaya. (Rujuk Raudah al-Tolibin wa Umdatun al-Muftin 3/353)

Fuqaha turut bersepakat bahawa tidak boleh dijual beli hasyarat (antaranya serangga) yang tidak memberi manfaat kerana tidak menepati syarat barang jualan iaitu barang jualan mestilah mempunyai nilai manfaat.

Oleh yang demikian, haram menjual hasyarat (antaranya serangga) seperti tikus, ular, kala jengking, kumbang, semut dan seumpamanya.

Adapun sekiranya sebahagian haiwan serangga mempunyai manfaat, maka ia harus dijual seperti ulat sutera untuk dijadikan kain sutera dan serangga lebah yang boleh menghasilkan madu. ( Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Quwaitiyah, 17/280)

KESIMPULAN

Setelah meneliti perbahasan yang dikemukakan, haram memelihara haiwan yang dianjurkan untuk dibunuh terutamanya binatang yang berbahaya seperti ular.

Bahkan, ular termasuk dalam kelompok haiwan penggangu dan perosak (fawasiq) dan tiada manfaat untuk diperdagangkan. Setiap barangan jualan yang tiada nilai manfaat adalah tidak sah transaksinya kerana tidak menepati syarat jual beli.

BACA: Dapat RM31 Juta Sebab Main Game, Ini 5 ‘Gamers’ Paling Kaya Di Dunia 2023

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma