Siakap Keli
rekod tinggal dalam air
Gambar: CNN

Saintis Cipta Rekod Tinggal Dalam Air Selama 73 Hari

Saintis Cipta Rekod Tinggal Dalam Air Selama 73 Hari

Seorang saintis dari Florida yang menggelarkan dirinya sebagai Dr. Deep Sea dilaporkan telah mencipta rekod dunia apabila tinggal di dalam air dalam tempoh yang lama, lapor CNN.

Joe Dituri yang juga merupakan veteran Navy memaklumkan bahawa dia telah menghabiskan masa selama 73 hari di dalam habitat laut. Malah dia merancang untuk menghabiskan 100 hari lagi di situ.

“Saya bersyukur kerana rasa ingin tahu saya telah membawa saya ke sini. Matlamat saya dari hari pertama adalah untuk memberi inspirasi.

“Ia bukan sahaja untuk generasi akan datang tetapi untuk saintis di seluruh dunia yang mengkaji kehidupan di bawah laut dan bagaimana tubuh manusia berfungsi apabila berada dalam persekitaran yang melampau,” katanya.

Menurutnya lagi, misinya masih lagi belum selesai kerana dia mempunyai 23 hari lagi di bawah laut untuk melakukan penyelidikan.

BACA JUGA: Budak 10 Tahun Cipta Rekod Dunia, Timang Bola 8,147 Kali Dalam Sejam

Beliau menjangkakan untuk kembali ke permukaan pada 9 Jun nanti.

Dia telah melakukan pemeriksaan kesihatan yang mendalam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bagaimana tubuh bertindak balas terhadap persekitaran sedemikian.

rekod tinggal dalam air
Gambar: CNN

Jurutera bioperubatan yang juga merupakan profesor bersekutu di University of South Florida itu telah mendokumentasikan pengalamannya di Instagram dan Youtube.

Difahamkan, dia telah tinggal di Jules’ Undersea Lodge, di bawah permukaan lagun di Key Largo, Florida.

Ia berada di dasar laut dan dipenuhi dengan udara termampat untuk mengelakkannya daripada banjir.

“Ia adalah hotel bawah air pertama dan satu-satunya cara untuk sampai ke bilik adalah dengan melakukan selam skuba,” katanya.

Projek terbaharu itu adalah sebahagian daripada penyelidikan Dituri mengenai sejauh mana manusia boleh bertahan dalam persekitaran terpencil dan terkurung.

Pada September, Dituri merancang untuk menaiki penerbangan dengan pesawat yang diubah suai di mana dia akan dapat mengalami graviti sifar beberapa kali.

Menurut Rekod Dunia Guinness, dua ahli biologi Amerika Syarikat, Bruce Cantrell dan Jessica Fain sebelum ini memegang rekod paling lama tinggal di dalam air di habitat tetap. Mereka menghabiskan masa selama 73 hari di pondok dasar laut yang sama dengan Dituri.

Sumber: CNN 

Ezzatul Syafiqah