Bekas Presiden Pertama ABIM, Ustaz Razali Nawawi Meninggal Dunia
KUALA LUMPUR — Mantan Pengasas dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pertama, Prof Dr Ustaz Razali Nawawi dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 83 tahun hari ini.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik oleh ABIM di Facebook, Allahyarham meninggal dunia pada jam 6.45 pagi di Hospital Pakar An-Nur.
Difahamkan, jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi sebelum disolatkan selepas waktu Zohor.
“Urusan jenazah di Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi. Solat jenazah dijangka selepas Zohor,” jelas kenyataan itu lagi.
Ustaz Razali Nawawi Meninggal
Tambah ABIM, pihaknya mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
BACA JUGA: Ulama’ Jordan, Sheikh Muhammad Naim Yasin Meninggal Dunia
“Allahummaghfirla-hu warham-hu wa ‘afi-hi wa’ fuan-hu. Sesungguhnya, kita milik Allah Subhanahu wa-Ta’ala selama-lamanya.
“Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati Almarhum, dan menempatkannya di sisi-Nya Yang Maha Pengasih.
اِنّا لِلّهِ وَاِنّا اِلَيْهِ رَجِعُوْنَ
“Sesungguhnya kami milik Allah dan hanya kepadaNya kami akan kembali.
اَللهُمَّ اغْفِرْلَه وَارْحَمْه وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْه
“Ya Allah, ampunilah dirinya dan kasihilah dia dan afiatkan (selamatkan atau tidak siksakan) dia dan maafkanlah kesalahannya.
“InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun,” tulis ABIM.
Jawatan Yang Pernah Disadang Ustaz Razali
Sebelum ini, ABIM dalam satu kenyataannya memohon orang ramai mendoakan kesihatan Ustaz Razali, lapor Bernama.
Difahamkan, beliau merupakan bekas Dekan Ahmad Ibrahim Kulliyah of Law, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Selain itu, Razali menjadi Presiden ABIM pertama pada 1972 dan telah memperkenalkan sistem usrah sebelum diambil alih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden ABIM yang kedua pada 1974.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ialah sebuah Badan Masyarakat Madani (CSO) yang mewakili pergerakan belia Islam di Malaysia.
ABIM telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pengerusi penaja penubuhannya ialah Almarhum Ustaz Abdul Wahab Abdullah dan Setiausahanya ialah Dato’ Fauzi Abdul Rahman.
Pada 17 Ogos 1972, ABIM telah didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Manakala pada tahun 2009, setelah pihak kerajaan membuat semakan terhadap dasar belia negara, ABIM telah didaftarkan penubuhannya di bawah Akta Pertubuhan-pertubuhan Belia 2007.