Montana Negeri Pertama Di AS Bakal Haramkan Aplikasi TikTok
NEW YORK — Montana menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat (AS) yang bakal mengharamkan penggunaan TikTok susulan bimbang spekulasi mengenai kesan dan keselamatan penggunaan aplikasi berkenaan, lapor AFP.
Difahamkan, undang-undang yang ditandatangani Gabenornya, Greg Gianforte bakal berkuatkuasa mulai tahun depan.
Montana Haramkan TikTok Bimbang Isu Keselamatan
“TikTok mungkin tidak akan ditawarkan di negeri Montana. Di bawah undang-undang ini, Apple Store dan Google Play Store dilarang untuk menawarkan aplikasi itu di gedung mereka.
“Pengguna dilarang untuk mengakses, atau memuat turun TikTok. Jika didapati melanggar undang-undang ini, pesalah (Syarikat yang menyediakan) boleh didenda sebanyak lebih RM45,000 ($10,000) setiap hari,” katanya.
BACA JUGA: Australia Haramkan Aplikasi Tiktok Pada Peranti Kerajaan
Pengarah Dasar ACLU Montana, Keegan Medrano berkata sebahagian pemimpin politik negeri berkenaan turut mendakwa aplikasi milik negara China itu bertujuan mengumpulkan maklumat dan menjalankan perniagaan kecil atas nama sentimen anti-Cina.
“Larangan itu akan berkuatkuasa pada 2024. Bagaimanapun, undang-undang berkenaan boleh terbatal sekiranya hak pemilikan TikTok berada di bawah syarikat yang mempunyai hubungan baik dengan AS (bukan musuh),” katanya.
Aplikasi TikTok Tidak Berbahaya – Jurucakap
Sementara itu, jurucakap syarikat TikTok menjelaskan kepada AFP bahawa undang-undang yang ditandatangani oleh Gianforte itu melanggar hak Pindaan Pertama penduduk Montana iaitu melakukan sekatan TikTok secara tidak sah.
“Kami mahu meyakinkan Montana bahawa mereka boleh terus menggunakan aplikasi itu sebagai platform untuk kegunaan peribadi, sumber mencari rezeki dan berhubung dengan komuniti.
“Kami juga akan sentiasa menjaga hak pengguna sama ada di dalam dan di luar Montana,” jelas jurucakapnya.
Tambahnya, syarikat berkenaan mengatakan bahawa perlembagaan itu perlu diputuskan oleh mahkamah.
Sebelum penciptaan undang-undang sekatan ini, aplikasi itu ditentang hebat oleh kerajaan barat yang mengharamkan peranti kerajaan mereka mengakses TikTok.
Antara negara yang mengenakan sekatan peranti kerajaan itu termasuklah di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa negara di Eropah.
Untuk makluman, aplikasi TikTok merupakan milik firma China ByteDance. Walau bagaimanapun, ia dituduh sebilangan besar ahli politik AS kerana dipercayai berada di bawah pengawasan kerajaan China dan alat pengintipan oleh Beijing.
Sumber: AFP via Yahoo