Pelan Langganan Beriklan Netflix Cecah 5 Juta Pengguna
Pelan langganan beriklan Netflix yang dilancarkan baru-baru ini sudahpun berjaya mencapai 5 juta pelanggan aktif bulanan, lapor eksekutif syarikat itu.
Netflix melancarkan dengan pilihan langganan beriklan berharga RM31.69 sebulan itu pada November 2022 di 12 pasaran termasuk Amerika Syarikat. Pelan berkenaan adalah alternatif kepada pelan langganan tanpa iklan yang bermula pada RM45.28 sebulan.
Menurut laporan media, inisiatif Netflix itu adalah usahanya untuk menarik lebih ramai pelanggan dan menambah aliran hasil baharu. Netflix ketika ini berdepan persaingan hebat dengan kemunculan pelbagai platform penstriman yang menawarkan kandungan berkualiti tinggi.
Pelan langganan beriklan Netflix tarik pengguna baru
Netflix buat pertama kali, pada Rabu, membentangkan pencapaiannya di hadapan para pengiklan sejak melancarkan pelan berkenaan kira-kira enam bulan lepas. Mereka juga menyasarkan untuk mengikat kontrak dengan pengiklan baharu dan yakin dengan kandungan yang ditawarkan mampu menarik lebih ramai pelanggan selepas ini.
Antara syarikat gergasi yang terlibat sebagai pengiklan termasuklah Walt Disney Co dan Comcast Corp.
Eksekutifnya juga menekan penawaran pelbagai genre serta kandungan hit seperti Stranger Things, Squid Game dan Extraction sebagai kekuatan utama syarikat.
”Tiada syarikat hiburan lain yang komited seperti kami. Netflix menghasilkan pelbagai genre filem dan siri melibatkan pelbagai negara, dan untuk itu, capaian pelanggan juga begitu luas,” kata Bela Bajaria.
Bela Bajaria merupakan Ketua Pegawai Kandungan Netflix.
Menurut Ketua Bahagian Pengiklanan Global Netflix, Jeremy Gormon, jumlah pengguna aktif bulanan itu dikira berdasarkan jumlah akaun pengguna dewasa. Manakala akaun kanak-kanak pula tidak disertakan dengan iklan.
Setakat akhir Mac, Netflix secara keseluruhan mempunyai lebih 232.5 juta pelanggan berbayar di seluruh dunia.
Manakala Ketua Eksekutif Bersama Netflix, Ted Sarandos berkata, pihaknya mahu bekerjasama dengan pengiklan untuk mencipta pelbagai jenis pengiklanan baharu. Katanya, iklan itu kelak yang hanya boleh ditawarkan menerusi perkhidmatan digital.
Contohnya, iklan selama 30 minit boleh dimainkan selama beberapa hari dengan setiap bahagian disiarkan setiap kali penonton menonton rancangan di Netflix.
Walaupun begitu, iklan ini tidak boleh dilakukan dalam TV linear kerana tidak semua orang kekal menonton di satu saluran, ujar Sarandos.
BACA: Terus Mendunia, Khairul Aming Sebak Video Masakan Dapat Pujian Gordon Ramsay
Sumber: Yahoo.com