Wanita Ditembak Mati, Minum Minuman Beralkohol Di Kuil
Seorang wanita telah ditembak mati di dalam kuil Sikh di Punjab, utara India kerana didakwa mengambil minuman keras di rumah ibadat itu pada Ahad lalu, lapor The Independent.
Menurut Superintendan Kanan Polis Patiala, Varun Sharma kejadian tembak itu berlaku di Gurdwara Dukh Niwaran Sahib.
Wanita itu dikenali sebagai P (bukan nama sebenar), 35, didakwa berada di bawah pengaruh alkohol apabila dia ditembak mati oleh seorang lelaki.
“Dia mengambil minuman keras berhampiran Sarovar (kolam suci) di Gurdwara Dukh Niwaran Sahib.
“Dia membawa botol alkohol itu. Apabila penganut lain melihatnya, mereka membantah tindakan wanita itu dan membawanya kepada pengurus Gurdwara.
“Mereka berdiri berhampiran pejabat pengurus apabila tertuduh melepaskan tembakan dengan pistol berlesen miliknya,” kata Varun ketika sidang akhbar pada Isnin.
Tambahnya, dalam kejadian itu tembakan tersebut mengakibatkan seorang lagi penganut turut tercedera.
Kedua-duanya kemudian dibawa ke Kolej Perubatan dan Hospital Rajindra, bagaimanapun doktor mengesahkan P meninggal sudah meniggal dunia.
Varun berkata wanita tersebut menerima tiga kesan tembakan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
BACA: KKM Ambil Maklum Kedai Makan Didakwa Bagi “Special Ingredient” Kepada Pelanggan
Difahamkan, tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan telah ditangkap bersama senjatanya.
Ujarnya, penganut yang memasuki kuil tidak dihalang oleh pihak berkuasa.
“Saya tidak akan mengingkari kata-kata saya. Polis tidak menghalang penganut untuk melawat Gurdwara.
“Jawatankuasa Parbandhak Shiromani Gurdwara (SGPC), yang menguruskan gurdwara, boleh menjawab bagaimana tertuduh membawa senjata ke dalam,” jelasnya.
Polis turut menemui preskripsi dari pusat pemulihan penagihan dadah, yang dimiliki oleh wanita tersebut.
Wanita tersebut dikatakan sedang menjalani rawatan kerana ketagihan alkohol yang melampau.
“Doktor telah memberi preskripsi bahawa wanita itu sering mengalami perubahan mood, kemurungan dan sering berfikiran negatif,” kata Varun.
Walau bagaimanapun, mayat wanita itu masih belum dituntut, menurutnya.
Sumber: The Independent