Kuala Lumpur, 22 Mei 2023 – XOX Berhad (XOX) telah menjalin usaha sama dengan Alliance Bank Malaysia Berhad (“Alliance Bank”) untuk memperluaskan rangkaian perkhidmatan kewangan yang disediakan di aplikasi mudah alih popularnya, “BLACK”. Kerjasama tersebut memaparkan produk-produk dan perkhidmatan kewangan peribadi pada penawaran sedia ada aplikasi BLACK, yang turut merangkumi platform e-dagang, alat pengurusan akaun, ganjaran iklan bayaran setiap tontonan (pay-per-view) dan pelbagai lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan XOX, Ng Kok Heng menegaskan kekuatan rangkaian kerjasama syarikat berkenaan. Menurut beliau, penambahan produk dan perkhidmatan kewangan peribadi Alliance Bank menandakan langkah pertama syarikat itu dalam memperluaskan penawaran kewangan di aplikasi BLACK, melangkaui penawaran terasnya.
Pada peringkat pertama projek tersebut, pelanggan aplikasi BLACK akan diberi akses terhadap produk kewangan peribadi ABMB termasuk kad kredit dan pinjaman serta pembiayaan peribadi. Bagi peringkat kedua, yang juga pertama seumpamanya di pasaran, kad kredit maya akan disepadukan ke dalam aplikasi BLACK, seterusnya membenarkan pengguna membuat transaksi harian dengan hanya menggunakan peranti mudah alih mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata: “Kerjasama ini adalah seiring dengan bidang-bidang tumpuan baharu kami di bawah program Acceler8 yang berhasrat untuk memperluaskan segmen perbankan pengguna dan meningkatkan penawaran produk kepada pasaran tersebut melalui penyediaan penyelesaian berbentuk peribadi, mudah serta pantas yang relevan. Sehingga akhir ini, kami akan terus membina usaha sama strategik bersama rakan-rakan industri dan niaga yang mempunyai matlamat sama demi mewujudkan lebih nilai kepada para pelanggan kami.”
Berkongsi sentimen yang sama, Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li berkata: “Usaha sama ini adalah amat penting terhadap perjalanan inovasi digital Bank. Menerusi usaha sinergi dan pembentukan nilai menerusi jalinan usaha sama, kedua-dua syarikat bermatlamat untuk mengubah penawaran tradisi ke dunia digital dan mencapai pengguna di kawasan bandar serta luar bandar.”
Ekosistem aplikasi BLACK XOX menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang membenarkan pengguna mendapatkan tambah nilai telefon prabayar, e-dagang, media OTT dan program kesetiaan. Dengan tambahan produk dan perkhidmatan kewangan, aplikasi BLACK terus memperluaskan penawaran dan mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah aplikasi mudah alih yang komprehensif untuk semua.
Usaha sama antara XOX dan Alliance Bank adalah langkah signifikan bagi memajukan ekonomi digital negara dan peralihannya kepada sebuah hab inovatif di ASEAN. Ekonomi digital Malaysia berada pada landasan pertumbuhan yang baik dengan lebih banyak syarikat menerima transformasi digital dan membentuk kerjasama bagi meningkatkan penawarannya. Melangkah ke hadapan, XOX merancang untuk menyepadukan lebih banyak perkhidmatan kewangan yang dikuasai Alliance Bank dalam aplikasi BLACK bagi terus menyediakan rangkaian meluas perkhidmatan kepada penggunanya.