Jokowi Tolak Naik Heli, Nak Tinjau Sendiri Jalan Rosak Guna Kereta
Peristiwa lucu melibatkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) ketika lawatannya ke Lampung pada 5 Mei lepas masih menjadi bualan sehingga ke hari ini.
Kejadian itu bermula daripada keputusan Jokowi yang memilih turun padang menggunakan kenderaan berbanding menaiki helikopter rasmi kerajaan. Menurut laporan media tempatan, keputusan Jokowi itu kerana beliau mahu melihat sendiri keadaan jalan raya menuju ke Lampung yang dilapor rosak teruk.
Ketika dalam perjalanan, kenderaan yang dinaiki bersama beberapa pegawai kerajaan yang lain tersangkut dalam lubang di jalan berkenaan. Insiden berkenaan lebih tepat berlaku di sebatang jalan di Ryacudu, Desa Bandar Agung, Lampung.
Terdapat beberapa video yang tular menunjukkan keadaan kereta yang dinaiki pemimpin tersebut ketika ‘menongkah arus perjalanan yang amat ranjau’.
Selepas sampai ke kawasan tersebut, terdapat beberapa klip menunjukkan Presiden Joko Widodo ditemu bual berkenaan pengalamannya merasai ‘kerancakan’ perjalanan tadi.
Jokowi tinjau sendiri jalan rosak, nikmati rasa perit
Dengan wajah yang agak pasrah, beliau menjawab persoalan berkenaan pengalamannya menggunakan jalan di wilayah Lampung.
“Jalannya mulus (dalam keadaan sempurna). Perjalanan tadi dinikmati. Sampai Encik Zul masih dapat terlena ketika dalam perjalanan.” katanya.
Kenyataannya turut dipersetujui Menteri Perdagangan Zulkifli Hasan yang turut ‘menikmati’ perjalanan tadi.
“Kalau ibu mengandung melalui jalan ini, boleh ‘ter’-bersalin,” katanya sampai menampilkan analogi berkenaaan keadaan jalan tersebut.
@madutvnetwork Presiden Jokowi “Nikmati” Kunjungan Kerja ke Lampung dengan Jalanan Berlubang #madutvnusantara #viraljalanrusakdilampung
Rupanya Jokowi pernah ditawarkan untuk meninjau jalan berlubang di Lampung dengan menggunakan helikopter
Menariknya, pemimpin Indonesia itu pernah ditawarkan untuk pergi ke kampung tersebut dengan cara yang lebih selesa.
Menurut Timbalan Bidang Protokol, Akhbar, dan Media Sekretariat Presiden, Bey Machmudin, Jokowi sempat ditawarkan untuk meninjau jalan rosak di Lampung dengan menggunakan helikopter.
Namun begitu, Jokowi menolak tawaran tersebut kerana dirinya tidak dapat ‘menghayati’ kesukaran apabila menggunakan jalan yang rosak jika hanya meninjau dari dalam helikopter sahaja.
“Presiden telah ditawarkan helikopter tetapi beliau bertanya kembali ‘kalau saya naik helikopter, bagaimana yang mampu merasai jalan yang rosak?’,” kata Bey kepada wartawan pada Jumaat, 5 Mei lepas.
Difahamkan, tujuan utama kunjungan kerja Jokowi di Lampung adalah untuk meninjau jalan-jalan yang rosak di sana. Perkara ini telah dibangkitkan apabila banyak penduduk di kawasan tersebut merintih atas kesukaran mereka ketika menggunakan jalan tersebut.
Dalam sebuah video yang dikeluarkan oleh Sekretariat Presiden, rombongan Jokowi kelihatan telah melintasi jalan yang sarat dengan lubang.
Oleh sebab cuaca di Indonesia kerap menerima taburan hujan, air telah bertakung di dalam lubang-lubang jalan dan menjadikan perjalanan pengguna jalan raya ‘lebih dahsyat’.
Selepas lawatan, Jokowi menyatakan bahawa kerajaan pusat akan mengambil alih kerja pembaikan untuk 15 segmen jalan yang rosak di Lampung.
BACA: Jadi Trending, Netizen Pakat Kongsi Gambar Zuhrah & Bulan ‘Bertemu’ Malam ini
Sumber: Madu TV Network, Kompas