Siakap Keli
jknk premis ditutup
Gambar: Bernama

JKNK Arah Lima Premis Makanan Di Tanah Merah Ditutup

JKNK Arah Lima Premis Makanan Di Tanah Merah Ditutup

TANAH MERAH, 25 Mei (Bernama) — Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengarahkan lima premis makanan di daerah ini ditutup 14 hari selepas gagal mencapai standard kebersihan yang ditetapkan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin berkata arahan penutupan itu susulan Operasi Bersepadu Premis Bersih membabitkan premis makanan di sekitar Bandar Tanah Merah, Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, Bandar Baru Kota Harmoni dan Jalan Ismail Petra, semalam.

Katanya menerusi operasi itu, 51 premis makanan diperiksa dan 93 kompaun dikeluarkan kepada pengusahanya atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Daripada jumlah itu, dua kompaun dikeluarkan bagi kesalahan tidak mendaftar premis makanan, tidak mempamerkan perakuan pendaftaran dan notis (2), tidak mematuhi kehendak yang berhubung tugas am, tuan punya, pemunya atau penghuni premis (10) dan kesalahan berhubung latihan pengendali makanan (2).

“Selain itu, satu kompaun dikeluarkan bersabit pemeriksaan kesihatan, manakala kesalahan pakaian pengendali makanan (53), kebersihan pengendali makanan (22) dan tidak mematuhi kehendak berhubung penyimpanan makanan (1),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

BACA JUGA: 10 Premis Makanan Di Kota Bharu Diarah Tutup

Dr Zaini berkata adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pengendali premis makanan untuk memastikan premis mereka bersih pada sepanjang masa.

Menurutnya pemilik premis makanan yang didapati gagal mematuhi elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan supaya dapat mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.

“Walau bagaimanapun, jika pemilik premis masih tidak mematuhi arahan tindakan pembetulan pada lawatan berikutnya, arahan penutupan premis akan dibuat di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya.

Beliau berkata JKNK juga menasihatkan orang ramai khususnya yang mengunjungi premis makanan di daerah ini dan di Kelantan keseluruhannya supaya memilih premis yang bersih.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?