Pengguna Maybank Kini Boleh Bayar Guna QR Di Singapura, Indonesia Dan Thailand
Maybank dilaporkan telah melancarkan perkhidmatan pembayaran QR rentas sempadan terbarunya untuk semua pelanggan Maybank yang melancong ke Singapura, Indonesia dan Thailand.
Perkhidmatan itu kini boleh melakukan transaksi pembayaran tanpa tunai dan segera melalui aplikasi MAE mereka.
Ciri itu juga dikatakan tersedia buat pelancong yang datang dari tiga negara tersebut kepada peniaga-peniaga yang menggunakan Maybank QRPay di Malaysia.
📢 You can now pay and transact with your MAE app when travelling to Singapore, Thailand, and Indonesia! #HumanisingFinancialServices https://t.co/bLcpuEF8pQ
— Maybank (@MyMaybank) May 30, 2023
Menurut Maybank, tawaran ciri baharu ini akan memudahkan lagi urusan rakyat Malaysia yang pergi melancong ke tiga negara tersebut untuk melakukan urusan.
Pembayaran QR rentas sempadan juga menawarkan kemudahan kepada pelancong supaya tidak perlu beratur di pengurup wang serta membawa wang tunai yang banyak.
Bagi pelancong yang melawat Malaysia dan menggunakan penyedia perkhidmatan pembayaran juga boleh mendapat manfaat daripada QR rentas sempadan ini.
Mereka boleh menggunakan QR rentas sempadan yang terdapat di aplikasi perbankan tempatan mereka semasa membuat pembayaran kepada peniaga Maybank QRPay.
Pelancaran perkhidmatan terbaru ini telah memberi manfaat yang besar kepada peniaga tempatan yang berdaftar. Ini kerana mereka akan menerima bayaran daripada pelancong dalam mata wang Ringgit Malaysia terus ke dalam akaun mereka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Dato’ John Chong berkata bahawa Maybank berhasrat untuk mencipta produk dan perkhidmatan yang mampu memberi nilai kepada pelanggannya.
Ia selaras dengan tujuan untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan semua pelanggannya.
Lebih memudahkan pelancong Malaysia untuk berurusan di luar negara
Perkhidmatan QR rentas sempadan ini merupakan ciri penting yang boleh memudahkan pelancong Malaysia ke luar negara hanya menggunakan aplikasi MAE.
Selain itu, ia juga berfungsi sebagai kunci untuk meningkatkan kecekapan sambil mempromosikan ekonomi digital dan kewangan di rantau ASEAN.
“Ini adalah tepat pada masanya di mana kami melihat peningkatan ketara dalam permintaan teknologi di kalangan orang ramai.
“Ketika mereka mencari penyelesaian perbankan yang menawarkan kelajuan yang tiada tandingan dan tahap kemudahan baharu sambil memastikan keselamatan transaksi mereka, terutamanya selepas wabak.
“Tambahan pula, hubung-kait pembayaran QR antara Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand melengkapkan rangkaian saling kebergantungan pembayaran dua hala yang semakin meningkat yang akan menyumbang ke arah ASEAN lebih dinamik dan pembangunan selanjutnya di rantau ini,” kata Dato’ John Chong.
Pelancaran perkhidmatan bayaran QRPay juga merupakan sebahagian daripada strategi M25+ Kumpulan untuk mengukuhkan kedudukan perniagaannya di rantau ini.
Perkhidmatan pembayaran QR Maybank ini dilaporkan bakal memberikan kemudahan kepada lebih 8 juta pengguna aplikasi Maybank. Malah ia juga dapat memanfaatkan lebih 700,000 peniaga yang mempunyai Maybank QRPay di Malaysia.
Maybank menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan yang lancar dan selamat buat penggunanya terutama ketika melancong ke tiga negara tersebut.
BACA: Apa Maksud ‘kPa’ Pada Vakum, Ini Nilai Minimum Kalau Nak Sedutan Yang Kuat
Untuk makluman, perkhidmatan pembayaran QR rentas sempadan Bank telah diwujudkan hasil kerjasama antara Bank Negara Malaysia dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (Paynet).
Sumber: Maybank