Siakap Keli

Karnival Kerjaya MyFutureJobs & Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 Tawar Lebih 7,000 Peluang Pekerjaan

PULAU PINANG – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menganjurkan Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 di Butterworth Arena, Pulau Pinang pada 3 hingga 4 Jun 2023.

Karnival Kerjaya yang akan diadakan selama dua hari ini menawarkan lebih 7,000 peluang pekerjaan daripada 56 majikan. Karnival ini merupakan satu platform yang menemukan pencari kerja dengan syarikat-syarikat yang memerlukan pekerja untuk mengisi kekosongan bagi perkembangan operasi dan perniagaan mereka.

Selain daripada menghimpunkan pencari kerja dengan berbagai kelayakan dan kompetensi bersama bakal majikan dari pelbagai sektor di bawah satu bumbung untuk sesi temu duga terbuka, PERKESO juga menyediakan kaunter kaunseling kerjaya di Karnival Kerjaya tersebut untuk meningkatkan peluang calon-calon berjaya dalam temu duga.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk bantuan penyediaan resume, bimbingan kerjaya dan nasihat tentang kerjaya yang bersesuaian.

Sehingga kini, 7,347 jawatan kosong akan ditawarkan dengan tawaran gaji bulanan sehingga RM10,000. Antara majikan yang akan mengambil bahagian adalah Maybank Berhad, Osram Opto Semiconductors (M) Sdn Bhd, Robert Bosch Malaysia Sdn Bhd, Flextronic Technology (Penang) Sdn Bhd dan banyak lagi syarikat daripada pelbagai sektor dan industri.

Turut dianjurkan seiring dengan temu duga terbuka di setiap karnival adalah promosi dan sesi penerangan tentang Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), satu skim perlindungan untuk golongan suri rumah yang dikuat kuasakan KSM pada 1 Disember 2022. Warga suri rumah turut dijemput hadir untuk mendaftar skim ini dan seterusnya mencari peluang-peluang pekerjaan pada masa yang sama.

Karnival Kerjaya ini turut mendapat sokongan daripada pemimpin tertinggi negeri ataupun Menteri Sumber Manusia. Majlis Penutup Karnival ini akan diadakan pada 4 Jun 2023 dan bakal disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Tuan V.Sivakumar dan akan turut dihadiri oleh YB Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin bin Abd Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan juga Ahli Parlimen Bagan, YB Tuan Lim Guan Eng.

Bagi pencari kerja tempatan, khususnya penduduk Pulau Pinang yang ingin mencari pekerjaan atau meninjau pekerjaan lain, daftar segera di pautan www.myfuturejobs.gov.my/careerfair dan seterusnya di Portal MYFutureJobs www.myfuturejobs.gov.my untuk mendapat akses kepada Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO. Untuk maklumat lanjut, sila berhubung terus dengan Careline PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau melalui e-mel di [email protected].

Amira

Love yourself.