Siakap Keli
ujian kehamilan mesir purba
Kredit: Astro Awani & AFP

Pakai Barli & Gandum, Menakjubkan Ini Cara Orang Mesir Purba Buat Ujian Kehamilan

Pakai Barli & Gandum, Menakjubkan Ini Cara Orang Mesir Purba Buat Ujian Kehamilan

Ramai yang menganggap bahawa ujian kehamilan urin (pregnancy test) hanya wujud pada zaman ini bagi menentukan sama ada seseorang wanita hamil ataupun sebaliknya.

Rupanya, ujian kehamilan urin sudah lama wujud sejak era Mesir purba kira-kira 3,500 tahun lalu. Lebih menakjubkan, ujian yang dijalankan boleh dikatakan agak tepat.

Menurut beberapa teks perubatan Mesirpurba dalam Koleksi Papyrus Carlsberg di University of Copenhagen, Denmark, kehamilan seseorang wanita dalam tamadun itu ditentukan dengan menggunakan bijirin iaitu barli dan gandum.

Berdasarkan satu teks yang berusia kira-kira 1400 Sebelum Masihi, wanita yang mahu menjalani ujian kehamilan perlu kencing di atas dua beg yang berbeza. Beg pertama diisi dengan barli manakala lagi satu beg diisi dengan gandum.

Menurut US National Institute of Health, jika biji benih barli yang bercambah, maka wanita berkenaan berkemungkinan hamil anak lelaki. Sebaliknya, jika biji benih gandum yang bercambah, zuriat yang dikandung adalah anak perempuan.

Bagaimanapun, jika kedua-dua biji benih tersebut tidak bercambah, maka wanita berkenaan berkemungkinan tidak hamil.

Namun begitu, tiada maklumat yang dinyatakan apakah kesimpulan dibuat jika ujian mendapati kedua-dua biji benih berkenaan bercambah.

Walaupun sudah beribu-ribu tahun, ujian kehamilan Mesir purba ini boleh dikatakan agak tepat

Menurut institut itu lagi, kajian yang dijalankan pada 1963 mendapati ujian ini hampir 70 peratus tepat dalam kebanyakkan masa. Air kencing wanita yang hamil didapati dapat mencambahkan biji benih, manakala air kencing wanita tidak hamil dan lelaki tidak dapat mencambahkan biji benih.

Penemuan dalam kajian tersebut dianggap sangat menakjubkan, walaupun ujian bijirin ini tidak dapat mengesahkan jantina bayi dengan tepat.

Ujian kehamilan moden bergantung pada protein-protein yang dapat mengesan hormon yang dipanggil sebagai human chorionic gonadotropin (hCG).

Walau bagaimanapun, para saintis membuat spekulasi bahawa kaedah kuno ini berhasil disebabkan paras estrogen yang tinggi dalam urin wanita yang berkemungkinan telah menggalakan pertumbuhan biji benih.

Dalam pada itu, penyelidik mendapati bahawa ilmu perubatan yang ditemui di Mesir purba tidak hilang sepenuhnya ketika Perpustakaan Alexandria dibakar pada 48 Sebelum Masihi.

Kebanyakan ilmu perubatan Mesir purba berjaya disebarkan ke seluruh benua Afrika dan di luar benua tersebut.

“Kebanyakan ilmu perubatan dari Mesir purba telah muncul semula dalam beberapa teks Yunani dan Rom yang ditulis kemudian,” Sofie Schiødt, pelajar Ph.D. dari University of Copenhagen memberitahu ScienceNordic.

BACA: Warna Susu Ibu: Ada Putih, Kuning & Hijau, Bagaimana Dan Kenapa Ia Berubah-ubah? Ini Jawapannya

Sumber: How Stuff Works

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma