Siakap Keli
5 Langkah Hilangkan Tompok Tahi Lalat
Kredit AFP, Pinterest

Nak Buang Masih Cantik, Ini 5 Langkah Untuk Hilangkan Tompok Tahi Lalat Pada Pakaian

Nak Buang Masih Cantik, Ini 5 Langkah Untuk Hilangkan Tompok Tahi Lalat Pada Pakaian

Setiap orang mementingkan kekemasan dan kebersihan dalam menjalani kehidupan mereka. Terutamanya mereka yang bekerja, pasti ingin sentiasa nampak kemas walau di mana jua.

Namun, ada satu benda yang buat seseorang hilang keyakinan bila benda ni terjadi. Benda apa yang dimaksudkan tu?

Benda yang dimaksudkan adalah kesan tompok tahi lalat. Kalau benda ni ada boleh hilang semangat nak buat kerja.

Bagi mereka yang mempunyai anak kecil pula, tahi lalat pada pakaian anak sudah tidak asing lagi. Kesan ini biasanya terjadi kerana ia kerap terdedah dan basah. Bahagian yang sering ada kesan tahi lalat ni semestinya di bahagian leher.

Ada cara ke nak hilangkan tompok tahi lalat ni?

Jangan risau perkongsian hari ini akan memberikan anda lima tip DIY yang boleh anda lakukan di rumah untuk hilangkan tompok tahi lalat.

Oleh itu mari kita ikuti tips yang dikongsikan oleh Hello Doktor ini.

Pakaian yang sudah disimpan terlalu lama dalam almari pasti akan bertahi lalat. Kalau tahi lalat ini tidak hilang setelah dicuci, biasanya kita tidak akan memakai pakaian tersebut lagi. Jangan risau, ada cara hilangkan tahi lalat di baju yang boleh anda cuba.

5 cara hilangkan tahi lalat di baju

Ramai yang tahu bahawa tahi lalat yang ada pada baju agak sukar untuk hilang walaupun sudah dicuci berkali-kali.

Anda boleh cuba cara nak hilangkan tahi lalat di baju dengan petua yang kami kongsikan di bawah ini.

#1. Gunakan cuka

Cuka khususnya cuka putih, mempunyai beberapa kegunaan di dalam rumah.

Sifat antikulatnya menjadikan ia cara hilangkan tahi lalat di baju yang amat berkesan.

Kredit Hello Doktor

Mulakan dengan menuangkan secawan cuka ke dalam besen berisi air suam. Kemudian, rendam pakaian yang mempunyai tahi lalat ke dalam larutan tersebut.

Pastikan kawasan pakaian yang bertahi lalat direndam sepenuhnya.

Biarkan pakaian berendam selama sekurang-kurangnya sejam. Ini memberikan masa yang cukup kepada cuka untuk menembusi kain dan melarutkan tahi lalat.

Selepas itu, bilas larutan cuka dan basuh pakaian anda seperti biasa. Jika kotoran masih ada, anda mungkin perlu mengulangi proses tersebut.

#2. Gunakan baking soda daripada dapur anda

Soda penaik, juga dikenali sebagai natrium bikarbonat atau baking soda, adalah satu lagi barangan rumah yang sangat berkesan dalam menghilangkan kesan tahi lalat.

Kredit Hello Doktor

Ia berfungsi dengan mengeringkan sel kulat tahi lalat, dan seterusnya membunuh kulat tersebut.

Soda penaik bukan sahaja boleh menghilangkan kesan tahi lalat tetapi juga membantu menghilangkan bau hapak yang berlarutan.

#3. Cara hilangkan tahi lalat di baju: Larutan lemon dan garam

Jus lemon mempunyai sifat pelunturan semula jadi, manakala garam bertindak sebagai pelelas ringan.

Ini menjadikan gabungan kedua bahan ini sebagai agen pembersih yang berkuasa.

Kredit Hello Doktor

Mulakan dengan memerah jus daripada lemon dan campurkan dengan jumlah garam yang sama untuk menghasilkan pes yang pekat.

Sapukan pes ini ke atas bintik-bintik tahi lalat dan biarkan pakaian anda kering di bawah sinar matahari.

Cahaya matahari akan meningkatkan kesan pelunturan jus lemon, lalu membantu memudarkan kesan tahi lalat.

Setelah pakaian kering, bilas larutan lemon dan garam serta basuh pakaian anda seperti biasa.

#4. Rawatan hidrogen peroksida atau peluntur

Hidrogen peroksida ialah pilihan rawatan lebih kuat yang amat berkesan untuk kesan tahi lalat degil.

Sebagai peringatan, bahan ini mempunyai kesan pelunturan menjadikannya lebih sesuai untuk pakaian putih sahaja.

Untuk menggunakan hidrogen peroksida, sapukan terus pada tahi lalat menggunakan kain atau span.

Biarkan ia selama kira-kira 10 minit untuk memberikannya masa menguraikan tahi lalat tersebut.

Selepas itu, bilas kawasan tersebut dengan bersih untuk memastikan semua hidrogen peroksida dikeluarkan.

Setelah itu, basuh pakaian seperti biasa

#5. Cara hilangkan tahi lalat di baju: Rendam dengan produk dobi khusus

Terdapat banyak produk dobi di pasaran yang direka khusus untuk mengatasi masalah tahi lalat dan kotoran degil lain.

Produk ini selalunya mengandungi enzim aktif atau bahan lain yang berkesan memecahkan dan menghilangkan kesan tahi lalat.

Untuk menggunakannya, hanya tambahkan kuantiti produk yang disyorkan ke dalam besen air suam.

Kemudian rendam pakaian anda untuk jangka masa yang dicadangkan sebelum mencucinya seperti biasa.

Ikuti arahan pengilang untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

BACA: Apa Maksud ‘kPa’ Pada Vakum, Ini Nilai Minimum Kalau Nak Sedutan Yang Kuat

Kesimpulan

Dengan petua dan kaedah yang lebih terperinci ini, anda lebih bersedia untuk menangani masalah tahi lalat pada pakaian di rumah.

Namun, anda perlu sentiasa ingat bahawa pencegahan adalah kuncinya. Jangan culas untuk keringkan pakaian anda dengan baik sebelum menyimpannya. Pakaian yang lembap jika disimpan dalam almari akan lebih mudah menghasilkan tahi lalat.

Diharap dengan perkongsian ini dapat membantu pembaca untuk menghilangkan kesan tompok tahi lalat pada pakaian anda.

Sumber: Hello Doktor

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.