Siakap Keli
simbah air kencing rumah jiran
Kredit Media Indonesia

Padah Simbah Air Kencing Ke Rumah Jiran, Wanita Dijatuhi Hukuman Penjara Sebulan

Padah Simbah Air Kencing Ke Rumah Jiran, Wanita Dijatuhi Hukuman Penjara Sebulan

Majlis Hakim Pengadilan Negeri Sidoarjo, Jawa Timur menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan ke atas seorang wanita yang didapati bersalah menyiram air kencing dan najis ke arah rumah jirannya.

Memetik Viva, kejadian itu dilaporkan berlaku di kawasan kejiranan Desa Jogosatru, Kecamatan Sukodono, Indonesia.

Keputusan itu telah dibacakan oleh Ketua Majlis Hakim, Didik Asmiatun di Pengadilan Negeri Sidoarjo pada Rabu 31 Mei lalu.

“Pengadilan menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan kepada tertuduh,” kata hakim dalam keputusan tersebut.

Menerusi perbicaraan itu, terdapat beberapa pertimbangan telah diambil kira oleh hakim sebelum ia dijatuhkan ke atas tertuduh.

Pertimbangan pertama ialah mangsa dan tertuduh pernah berbincang namun tertuduh terus melakukan perbuatan kotor tersebut.

Selain itu, disebabkan tertuduh mengaku bersalah dan memohon maaf atas kejadian itu hukuman ringan telah diberikan kepada tertuduh.

Namun peguam yang mewakili mangsa berkata bahawa dia kecewa dengan keputusan hakim yang dianggap ringan bagi tertuduh.

Peguam mengharapkan agar tertuduh dijatuhkan hukuman maksimum mengikut Perkara 8 Perenggan (1) Huruf C Ketenteraman awam.

Berdasarkan akta itu, hukuman maksimum boleh dikenakan ialah hukuman penjara selama tiga bulan dan denda sebanyak 50 juta rupiah (RM15,000).

Bagaimanapun, kata peguam mangsa mereka tetap menghormati keputusan mahkamah itu.

“Kami menghormati keputusan hakim,” katanya.

Sementara itu, pegawai penyiasat Satpol PP Sidoarjo, Anas Ali Akbar berkata bahawa kes itu merupakan pelanggaran peraturan wilayah yang pertama dibawa ke mahkamah.

Sejurus keputusan dibuat, pihaknya segera menyerahkan tertuduh kepada Peguam Daerah untuk dihukum.

Kes itu didakwa dan dibawa ke mahkamah selepas rakaman video menunjukkan tertuduh menyimbah air kencing ke rumah jirannya telah tular di media sosial beberapa minggu lalu.

Perbuatan tertuduh bukan sahaja melibatkan menyimbah air kencing, malah dia juga turut membuang sampah dan sisa lain ke rumah mangsa.

Dalam pada itu, hasil siasatan polis mendapati bahawa tertuduh telah melakukan perbuatan keji itu sejak 2017 yang lalu.

BACA: Apa Maksud ‘kPa’ Pada Vakum, Ini Nilai Minimum Kalau Nak Sedutan Yang Kuat

Sebelum ini ketua kampung pernah menjadi orang tengah dalam menyelesaikan permasalahan penduduk itu, namun tertuduh tetap mengulangi perbuatannya itu.

Siasatan juga mendapati bahawa perbuatan tertuduh tersebut adalah kerana mahu mangsa tidak selesa untuk tinggal di rumah berkenaan.

Ini kerana rumah yang didiami mangsa kini dahulunya telah diwarisi tertuduh daripada ibu bapanya. Namun ia kemudiannya dijual oleh waris lain.

Tujuan utama tertuduh melakukan perbuatan tersebut adalah dengan niat untuk mendapatkan semula rumah berkenaan.

Sumber: Viva

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka