Zon Euro Sebenarnya Alami Kemelesetan Sejak Awal 2023 – EU
Zon Euro mengalami kemelesetan teknikal bermula awal tahun ini, apabila menguncup sebanyak 0.1 peratus bagi suku kedua berturut-turut.
Perkara ini bersandarkan angka yang diterbitkan oleh agensi statistik Kesatuan Eropah, Eurostat pada Khamis.
Angka lebih buruk berbanding apa yang dijangka itu diperolehi selepas inflasi dan kadar faedah tinggi mengekang permintaan di beberapa buah ekonomi terbesar Eropah.
Sebelum ini, Eurostat terpaksa menyemak semula ramalan pertumbuhan 0 peratus pada suku akhir 2022 dan 0.1 peratus pertumbuhan pada suku pertama 2023. Semakan itu kepada kontraksi 0.1 peratus pada kedua-dua tempoh.
Penguncupan keluaran dalam negara kasar (GDP) untuk dua tempoh berturut-turut merupakan ambang kepada kemelesetan teknikal.
Berita buruk itu hadir selepas setahun ekonomi Eropah berdepan tekanan peningkatan harga tenaga, salah satunya disumbang oleh konflik Rusia-Ukraine. Konflik itu juga menyaksikan kadar inflasi di Eropah meningkat.

Bank Pusat Eropah telah bertindak balas dengan menaikkan kadar faedah sebanyak 3.75 mata sejak memulakan kempen pengetatan monetari pada Julai tahun lepas.
Dalam pada itu, AFP melaporkan angka-angka terbaru daripada Eurostat ini juga mengetepikan sebarang ramalan lebih positif untuk sepanjang 2023.
Sebelum ini, Suruhanjaya Eropah (EC) meramalkan pada pertengahan Mei bahawa pertumbuhan untuk tahun ini akan mencapai 1.1 peratus di seluruh 20 negara yang menggunakan mata wang tunggal itu.
Menurut seorang ahli ekonomi di ING Bank, Charlotte de Montpellier meramalkan pertumbuhan pada 2023 hanya mencecah sekitar 0.5 peratus.
“Sejak musim bunga lalu, data-data yang diterima semuanya buruk. Ekonomi Eropah berada dalam fasa terbantut dan mengalami kesukaran untuk mengharungi musim sejuk akibat masalah tenaga,” katanya kepada AFP.
Walaupun harga gas dan minyak telah jatuh dalam beberapa bulan kebelakangan ini, lonjakan harga tahun lepas telah memberi kesan besar kepada keyakinan pengguna dan memaksa mereka untuk mengurangkan perbelanjaan.
Sebelum ini, Jerman yang merupakan kuasa ekonomu Eropah melaporkan negara itu jatuh ke kancah kemelesetan.
BACA: Ini Maksud Sebenar & Asal Usul Negara Dunia Pertama, Kedua & Ketiga
Sumber: AFP