Siakap Keli
istilah negara kelas pertama kedua ketiga
Kredit: Bernama & AFP

Ini Maksud Sebenar & Asal Usul Negara Dunia Pertama, Kedua & Ketiga

Ini Maksud Sebenar & Asal Usul Negara Dunia Pertama, Kedua & Ketiga

Hari ini, sesetengah pihak sering menggunakan istilah ‘Negara Dunia Ketiga’ bagi merujuk kepada negara miskin atau membangun.

Manakala, negara-negara maju yang lebih kaya seperti Amerika Syarikat dan negara-negara yang terketak di barat Eropah pula digambarkan sebagai ‘Negara Dunia Pertama’.

Namun pernah tak anda mendengar mana-mana negara dirujuk sebagai ‘Negara Dunia Kedua’? Secara logiknya, jika ada yang ‘pertama’ dan ‘ketiga’, sudah tentu ‘kedua’ perlu wujud di tengah-tengahnya.

Justeru, kali ini kami ingin berkongsi dengan anda beberapa fakta menarik mengenai istilah-istilah ini dan dari mana asal usulnya.

Menurut History, model geopolitik ‘Tiga Dunia’ muncul sekitar pertengahan abad ke-20. Model ini bertujuan untuk mengenalpasti pelbagai negara pemain (players) dalam pentas dunia semasa Perang Dingin.

Asal usul konsep ini adalah sukar untuk dikenal pasti, namun sejarawan sering memberi kredit kepada ahli demografi Perancis, Alfred Sauvy. Beliau menggunakan istilah ‘Tiga Negara, Satu Planet’ dalam sebuah artikel yang diterbitkan pada 1952.

Pengkelasan negara mengikut istilah Negara Dunia Pertama, Kedua dan Ketiga ini adalah bersandarkan blok politik

Dalam konteks asal, Negara Dunia Pertama mengandungi Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu kapitalisnya seperti negara-negara Eropah Barat, Jepun dan Australia.

Manakala Negara Dunia Kedua pula merujuk kepada Blok Komunis diterajui Kesatuan Soviet dan negara-negara satelitnya di Eropah Timur.

Bagi Negara Dunia Ketiga pula, istilah itu mewakili mana-mana negara yang tidak berpihak (neutral) kepada mana-mana blok dalam tempoh Perang Dingin (1947 – 1991).

Negara-negara ini biasanya terdiri daripada negara-negara miskin yang merupakan bekas negara jajahan Eropah. Selain itu, ia termasuk hampir semua negara-negara di benua Afrika, Amerika Latin dan Asia.

Jadi, istilah-istilah ini pada awalnya bukanlah merujuk kepada kekayaan atau taraf ekonomi sesebuah negara. Sebaliknya, lebih kepada ideologi atau kecenderungan untuk berpihak kepada mana-mana blok ketika Perang Dingin.

Istilah sama terus digunapakai hingga ke hari ini

Hari ini, kuasa-kuasa besar ekonomi di Barat adakalanya masih dirujuk sebagai Negara Dunia Pertama. Namun begitu, penggunaan istilah Negara Dunia Kedua pula sudah menjadi lapuk sejak runtuhnya Kesatuan Soviet pada 1991.

Berbeza dengan istilah Negara Dunia Ketiga, ia masih kekal digunakan sehingga ke hari ini. Bagaimanapun, penggunaan istilahnya berubah, daripada maksud neutral kepada istilah merujuk negara-negara sedang membangun.

Bagi ahli akademik moden, model Negara Tiga Dunia ini dianggap lapuk dan tinggalan sejarah dari era Perang Dingin serta tidak lagi sesuai digunapakai.

Manakala istilah seperti negara membangun, negara berpendapatan rendah dan sederhana lebih kerap digunakan hari ini bagi merujuk tahap ekonomi sesebuah negara.

BACA: Jangan Buat ‘Ini’ Sebelum X-ray Gigi, Nanti Nampak Macam Pakai Susuk

Sumber: History

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma