PETRONAS menduduki tempat kedua dalam ranking jenama minyak dan gas terkuat dunia, manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) berada di kedudukan ketiga bagi jenama utiliti terkuat dunia, menurut laporan Energy 100 2026 oleh Brand Finance.
PETRONAS meningkat satu anak tangga dengan mencatat skor Indeks Kekuatan Jenama (BSI) sebanyak 83.5 daripada 100 dan penarafan AAA-. TNB pula meraih skor 91.5 daripada 100 dengan penarafan AAA+.
Brand Finance dalam kenyataan bertarikh 5 November memaklumkan prestasi kedua-dua jenama itu mencerminkan kekuatan reputasi, kebolehpercayaan dan hubungan dengan pihak berkepentingan.
Menurut firma perunding penilaian jenama itu, kajian pasarannya menunjukkan persepsi terhadap reputasi, kebolehpercayaan serta penglibatan pelanggan PETRONAS di Malaysia semakin kukuh, walaupun nilai jenamanya susut empat peratus kepada AS$13.8 bilion.

PETRONAS turut memperkukuh reputasinya melalui inisiatif impak sosial dan peralihan tenaga, termasuk pelaburan melebihi RM500 juta dalam program impak sosial pada 2025 yang memanfaatkan lebih 2.5 juta orang.
Penganjuran Energy Asia 2025 serta penghasilan bahan api penerbangan mampan pertama yang diadun secara tempatan di Malaysia turut menyokong persepsi terhadap inovasi dan kepimpinan syarikat itu.
Ekosistem Setel dan Mesra Rewards pula membantu mengukuhkan hubungan harian dengan pelanggan melalui perkhidmatan pengisian bahan api, pembayaran serta ganjaran bersepadu.
Sementara itu, skor BSI TNB meningkat daripada 88.9 pada 2025 kepada 91.5 tahun ini, mencerminkan persepsi lebih kukuh dalam kalangan pihak berkepentingan.

Sebanyak 91 peratus responden di Malaysia mengenali jenama TNB, disokong peranannya sebagai pembekal elektrik utama negara serta interaksi harian melalui bil, maklumat gangguan bekalan dan perkhidmatan digital.
Pengarah Urusan Brand Finance Asia Pasifik, Alex Haigh berkata peningkatan kekuatan jenama kedua-dua syarikat menunjukkan kepentingan mengekalkan kepercayaan, di samping memperlihatkan inovasi dan strategi peralihan tenaga yang meyakinkan.
Di peringkat global, Shell kekal sebagai jenama minyak dan gas terkuat dengan skor BSI 83.9, manakala State Grid dari China menerajui kategori utiliti dengan skor 92.9.
Nilai keseluruhan 100 jenama tenaga utama dunia meningkat enam peratus kepada AS$731.2 bilion pada 2026, berbanding AS$688.6 bilion tahun sebelumnya.

