iCAUR V23 menerima Anugerah Prestasi Keselamatan Terbaik bagi kategori Keselamatan Penunggang Motosikal pada ASEAN NCAP Grand Prix Awards 2026 kali keenam di Sepang, pada 10 November.
iCAUR Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu menyusuli pencapaian model berkenaan memperoleh penarafan lima bintang Program Penilaian Kereta Baharu bagi Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) pada Disember 2025, dengan skor keseluruhan 91.02 mata.
Menurut syarikat itu, penilaian berdasarkan protokol ASEAN NCAP 2021–2025 tersebut memperlihatkan keupayaan V23 menggabungkan reka bentuk kenderaan utiliti sukan (SUV) berinspirasikan gaya luar jalan klasik dengan kejuruteraan kenderaan elektrik dan perlindungan keselamatan.
Pengarah Kanan iCAUR Malaysia, Francis Chin berkata keselamatan kenderaan kekal menjadi keutamaan syarikat dalam membangunkan pengalaman pemilikan kenderaan elektrik.
“Selepas memperoleh penarafan lima bintang ASEAN NCAP, penerimaan Anugerah Prestasi Keselamatan Terbaik bagi Keselamatan Penunggang Motosikal merupakan pengiktirafan yang membanggakan terhadap dedikasi pasukan kejuruteraan kami dalam meningkatkan keselamatan kenderaan elektrik moden.
“Kami kekal komited untuk menghasilkan kenderaan yang membolehkan pemandu meneroka dengan yakin, di samping memastikan perjalanan lebih selamat untuk semua pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut iCAUR Malaysia, V23 dilengkapi sistem bantuan pemandu pintar serta teknologi keselamatan aktif yang direka untuk mengesan, memberikan amaran dan membantu mengelakkan kemungkinan pelanggaran membabitkan penunggang motosikal.
Syarikat itu memaklumkan pengiktirafan kategori berkenaan mencerminkan komitmennya terhadap perlindungan semua pengguna jalan raya, khususnya dalam persekitaran trafik Malaysia yang turut melibatkan penggunaan motosikal secara meluas.
Majlis anugerah dwitahunan di Mövenpick Hotel and Convention Centre KLIA itu dianjurkan ASEAN NCAP dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
Anugerah berkenaan mengiktiraf model kenderaan berprestasi terbaik yang dinilai sepanjang kitaran penilaian 2024–2025.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, dan diadakan bersempena Kursus Keselamatan Kenderaan (VSC) kali kesembilan.
Program berkenaan menghimpunkan pembuat dasar serantau, penyelidik keselamatan jalan raya serta pemimpin industri automotif bagi menyokong peningkatan standard keselamatan kenderaan di ASEAN.
Maklumat lanjut mengenai V23 dan rangkaian kenderaan elektrik iCAUR boleh diperoleh menerusi laman rasmi www.icaur.com.my serta akaun Facebook dan Instagram iCAUR Malaysia.

