Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bakal melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas berjaya menamatkan pengajian sarjana dengan cemerlang.
Perkara itu diumumkan Presiden UIAM, Abdul Rashid Hussain ketika Istiadat Konvokesyen UIAM Ke 42 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan UIAM, Kampus Gombak, hari ini.
“Saya berbesar hati mengumumkan bahawa perjalanan akademik baginda akan diteruskan bersama kami ke peringkat doktor falsafah,” katanya.

Tunku Azizah merupakan antara 5,489 graduan yang menerima ijazah pada istiadat berkenaan.
Baginda turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi program Sarjana Sastera Pemikiran dan Tamadun Islam selepas menamatkan pengajian selama dua tahun di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.
Baginda berjaya menamatkan pengajian melalui tesis sarjana bertajuk Hukum Kanun Pahang: Satu Kajian tentang Perlembagaan Melayu Islam yang Berdaulat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berkenan berangkat ke istiadat konvokesyen berkenaan.
Dalam titahnya, Sultan Nazrin turut memuji pencapaian akademik Tunku Azizah yang berjaya melanjutkan pengajian sambil melaksanakan tanggungjawab diraja.
“Keazaman Tunku Azizah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sambil melaksanakan tanggungjawab diraja menjadi contoh komitmen terhadap ilmu yang kita raikan pada majlis ini,” titah baginda.
Dalam pada itu, UIAM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pemikiran dan Tamadun Islam secara anumerta kepada Profesor Emeritus John L Esposito.

Esposito yang terkenal dengan sumbangannya dalam bidang kajian Islam serta hubungan antara masyarakat Islam dan dunia Barat meninggal dunia pada Julai lalu pada usia 86 tahun.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Sultan Nazrin dan diterima oleh isteri Esposito, Jean.
“Beliau secara meluas dianggap sebagai sarjana yang bersimpati terhadap Islam, selain sentiasa menjunjung standard objektiviti tertinggi, satu sifat yang jarang ditemui dalam kajian Islam di Barat,” kata Profesor Emeritus Osman Bakar dalam ucapan penganugerahan.
Istiadat Konvokesyen UIAM Ke 42 berlangsung di Kampus Gombak dan menghimpunkan seramai 5,489 graduan.

