PETRONAS Lubricants International (PLI) meraih pengiktirafan antarabangsa selepas dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pembekal Terbaik Stellantis 2026 bagi kategori Aftermarket.
Dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya, PLI memaklumkan anugerah tersebut disampaikan pada majlis Stellantis Global Supplier Conference & Awards yang berlangsung di Detroit, Amerika Syarikat pada 10 November lalu.
Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi PLI, Domenico Ciaglia, menerima anugerah berkenaan bagi pihak syarikat sebagai penghargaan terhadap dedikasi dan sumbangan seluruh warga kerjanya.
PETRONAS Lubricants International Raih Pengiktirafan Antarabangsa

Menurut PLI, pengiktirafan itu mencerminkan kerjasama erat serta komitmen bersama antara kedua-dua syarikat dalam memastikan kualiti produk, kecemerlangan operasi dan nilai terbaik untuk pelanggan di seluruh dunia.
Dalam pada itu, PLI turut merakamkan penghargaan kepada Stellantis atas pengiktirafan tersebut, selain pasukan global dan serantaunya yang memainkan peranan penting dalam menjayakan pencapaian berkenaan menerusi semangat serta kepakaran masing-masing.
PLI turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong strategi FaSTLAne 2030 Stellantis yang mengutamakan inovasi, kualiti, kepantasan dan kecekapan pelaksanaan, selain bekerjasama membentuk masa depan industri mobiliti.
“Bersama-sama, kami memacu kecemerlangan. Bersama-sama, kami melangkah lebih jauh,” menurut PLI.


